24 February 2014

Artikel MMI Guru Kaunseling

Sunday
The best time 
To complete my article

Artikel ni ditulis dari Cuti Tahun Baru Cina lagi. Start buat research dan menaip pelan pelan slow and steady dan top up masa lepak library Kajang ker, tunggu anak balik sekolah ker dan bangun awal pagi 4.30 pagi. Dah nak dateline esok kenala jugak siapkan hari ni. Saja mencabar diri buat research ni and credit to myself to fulfill one of my wishlist for 2014.
Orait nak share kat sini.

MELINDUNGI MASA INSTRUKSIONAL :
AMALAN  OLEH GURU KAUNSELING SEKOLAH

Oleh
Nurhaiza Bt Che Mat
Guru Kaunseling
SMK Cheras

Amalan guru kaunseling dalam melindungi masa instruksional lebih dilihat sebagai suatu proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru kepada murid berbentuk arahan, tunjukcara, penerangan lisan dan bukan lisan melalui ceramah, taklimat dan sesi kaunseling yang membolehkan murid belajar secara lebih berkesan untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid dalam aspek yang lebih menyeluruh bukan sahaja dalam perkembangan akademik tetapi juga peribadi, kemasyarakatan, sosial dan vokasional. Oleh kerana itu peranan guru kaunseling tidak boleh dilihat sebagai guru ganti semata – mata dan guru pilihan pertama untuk menggantikan guru mata pelajaran yang tidak hadir untuk pengajaran akademik. Jumlah masa menggantikan guru mata pelajaran dalam seminggu hendaklah memadai 5 masa seminggu dan tidak keterlaluan sehingga melebihi 10 masa seminggu. Ini kerana guru kaunseling juga mempunyai masa instruksional terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang perlu dilindungi dan menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling individu mahupun kelompok di bilik kaunseling. Perkhidmatan ini tidak boleh digantikan dengan guru akademik. Guru kaunseling juga terlibat dalam  perlaksanaan modul kaunseling yang tersendiri dengan aktiviti bimbingan kelas apabila menjadi guru ganti. Selain itu, guru kaunseling juga perlu menjalankan program yang bersesuaian untuk  masalah disiplin dan sahsiah pelajar bagi meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid. Unit bimbingan dan kaunseling mempunyai perancangan tahunan dan masa instruksional yang meliputi akademik, peribadi, psikososial, kerjaya, keibubapaan, pembangunan diri, pencegahan dadah dan HIV  untuk memastikan murid belajar dengan lebih berkesan dalam aspek yang menyeluruh. Dalam melaksanakan perancangan tahunan ini, masa instruksional guru kaunseling juga perlu dilindungi dan dalam masa yang sama membantu pihak sekolah melindungi masa instruksional guru mata pelajaran.






PENDAHULUAN

            Masa instruksional bermaksud suatu proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru kepada murid berbentuk arahan, tunjukcara, penerangan lisan dan bukan lisan atau bentuk lain bertujuan membolehkan murid belajar secara lebih berkesan manakala melindungi masa instruksional di sekolah untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid bermaksud pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan tanpa halangan bagi mencapai objektif yang disasarkan untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid. Amla Salleh, Zuria Mahmud dan Salleh Amat (2006) menyatakan bahawa rasional penubuhan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah ialah kerana tugas hakiki guru mata pelajaran ialah mengajar dan tumpuan utama mereka menyampaikan pengetahuan atau membina perkembangan minda pelajar sahaja dan tidak banyak masa yang digunakan untuk membantu pelajar secara langsung tentang perkara – perkara yang tidak berkaitan dengan pembelajaran . Oleh itu guru kaunseling ditugaskan dengan program yang tersusun untuk membantu pelajar dalam aspek fizikal mahupun psikososial. Suradi Salim (1996) menekankan antara sebab mengapa perkhidmatan bimbingan dan kaunseling perlu diadakan dan dikukuhkan di sekolah ialah membantu pelajar berkembang dalam semua bidang, menolong pelajar membuat penyesuaian yang paling baik di sekolah dan di luar sekolah, mengenal pasti dan memotivasikan pelajar yang kurang bernasib baik dan mengatasi masalah kemerosotan disiplin. Oleh itu guru kaunseling membantu meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid dan melindungi masa instruksional di sekolah.

LATAR BELAKANG DAN KAJIAN LITERATUR
Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras merupakan sekolah menengah harian biasa di Kuala Lumpur. Sekolah merangka masa instruksional yang ideal, namun masa berkenaan tidak sepenuhnya menjanjikan pembelajaran berkesan kerana faktor gangguan tertentu yang berlaku di sekolah atau dalam bilik darjah seperti guru mata pelajaran menghadiri kursus atau mesyuarat di luar atau mengiringi murid dalam akademik. Oleh itu guru bimbingan dan kaunseling memainkan peranan dalam membantu meningkatkan keberhasilan pembelajaran pelajar dengan meningkatkan masa instruksional di antara guru kaunseling dengan pelajar dan membantu pihak sekolah melindungi masa instruksional guru lain dengan perancangan awal dari unit kaunseling. Namun demikian, guru kaunseling juga mempunyai masa instruksional terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang perlu dilindungi dan menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling individu mahupun kelompok di bilik kaunseling. Perkhidmatan ini tidak boleh digantikan dengan guru akademik. Oleh kerana itu peranan guru kaunseling tidak boleh dilihat sebagai guru ganti semata – mata dan guru pilihan pertama untuk menggantikan guru mata pelajaran yang tidak hadir untuk pengajaran akademik. Jumlah masa menggantikan guru mata pelajaran dalam seminggu hendaklah memadai 5 masa seminggu dan tidak keterlaluan sehingga melebihi 10 masa seminggu. Dari aspek faktor murid pula, murid tidak bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk menghadapi pembelajaran instruksional pada hari tersebut. Mohamed Fadzil Che Din (2000) menjelaskan dimensi kaunseling merupakan satu proses yang mempunyai peringkat tertentu, teknik dan teori tertentu, ada kaunselor dan klien serta alat kaunseling, mempunyai jangka masa dan ketertiban, setiap peringkat ada perubahan dan dilakukan secara sistematik.  Ia bertujuan untuk meningkatkan masa instruksional pelajar di sekolah agar dapat bersedia menerima pembelajaran.

OBJEKTIF
1)     Memastikan masa dimanfaatkan dengan aktiviti pembelajaran yang berfaedah serta mampu menyumbang ke arah memperkembangkan minda dan menggilap potensi murid.
2)      Membantu murid mendapat sesuatu input atau faedah semasa ketiadaan guru mata pelajaran.
3)      Masalah disiplin murid semasa pengajaran dan pembelajaran dalam kelas diminimakan agar dapat membantu perlaksanaan masa instruksional yang lebih berkesan bagi memperbaiki imej diri yang negatif.
4)      Memberi atau  memberi jalan agar pelajar dapat mengurus dirinya sendiri sama ada dari segi mental, emosi, kerohanian dan tingkah lakunya dan meningkatkan keberhasilan pembelajarannya.



AMALAN TERBAIK BERDASARKAN OBJEKTIF 
1)        Kelas ganti berdasarkan modul kaunseling yang terancang.
Guru kaunseling sering menerima kelas ganti bagi kes kecemasan seperti menggantikan guru yang mempunyai kes kecemasan dan guru penolong kanan yang mempunyai urusan dengan ibu bapa dan tetamu yang lain di pejabat. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang merangkumi akademik, kerjaya, pembangunan diri murid, psikososial, pendidikan pencegahan dadah dapat dijalankan dengan terancang melalui perancangan modul kelas bimbingan kepada pelajar  mengikut tingkatan. 

2)Gabungan kelas
Apabila sudah diketahui pada satu tarikh yang ditentukan, ramai guru yang terlibat dengan aktiviti luar hingga mencecah 10 orang dalam satu sesi persekolahan, guru kaunseling akan merancang program di dewan dan menjalankan sesi ceramah kepada beberapa kelas yang digabungkan agar dapat mengelakkan pelajar berada di dalam kelas tanpa guru.

3) Bekerjasama dengan AJK Pengurusan Jadual Waktu Ganti Kelas untuk mengatur kelas ganti  bagi guru kaunseling menjalankan aktiviti untuk sesuatu program tertentu.
Guru kaunseling boleh berbincang dengan jawatankuasa sekolah untuk melibatkan diri dengan aktiviti pelajar dalam kelas bagi kelas yang memerlukan guru ganti terutama untuk minggu tertentu seperti menjalankan saringan minda sihat untuk semua pelajar tingkatan empat dalam minggu tersebut, halatuju selepas SPM kepada semua pelajar tingkatan lima sewaktu minggu kerjaya dan sebagainya. Oleh itu selain melindungi masa instruksional pelajar dalam akademik, guru kaunseling dapat menjalankan masa instruksionalnya.

4) Kajian tindakan yang dijalankan oleh guru kaunseling mengenai keberkesanan buku rekod kawalan kelas dan tindakan susulan oleh guru kaunseling dari laporan dalam buku rekod kawalan kelas 
Buku rekod kawalan kelas merekodkan kehadiran murid dan guru semasa pengajaran dan pembelajaran. Ia mencatatkan nama murid yang tidak hadir dan murid yang ponteng sekolah. Ia juga penanda aras yang penting bagi mengesan kehadiran guru dalam bilik darjah. Guru kaunseling akan mengesan nama murid yang tiada di dalam kelas sewaktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran berlangsung dan menjalankan sesi kaunseling individu bagi pelajar yang ponteng kelas dan bermasalah. Guru disiplin pula akan menghukum pelajar yang mempunyai salah laku. Hasil kajian tindakan yang dijalankan menunjukkan buku kawalan kelas adalah satu dokumen penting yang merekodkan kehadiran guru dan salah laku pelajar. Guru mata pelajaran yang prihatin dengan pengurusan buku rekod kawalan kelas dengan memastikan bilangan pelajar, masalah pelajar lewat masuk kelas dan salah laku pelajar akan membantu dari aspek penurunan bilangan pelajar yang bermasalah dan melindungi masa instruksional guru mata pelajaran mengurus disiplin pelajar. 

5)  Memenuhi masa instruksional Kelab Kerjaya dan Pembimbing Rakan Sebaya

 Purata kekerapan perjumpaan kelab ialah 12 kali setahun mengikut jadual kokurikulum yang dirancang. Masa yang diperuntukkan telah digunakan oleh sekolah bagi tujuan memenuhi masa instruksional kegiatan kokurikulum. Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, murid-murid perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh itu di peringkat Kelab Kerjaya dan Pembimbing Rakan Sebaya di bawah Unit Bimbingan Kaunseling menyediakan pelbagai aktiviti menarik agar dapat menarik minat pelajar dan mencungkil potensi pelajar agar dapat disesuaikan dengan minat dan bakat murid itu sendiri.

6) Memenuhi masa instruksional semasa acara rasmi sekolah dengan murid memberikan tumpuan kepada acara yang berlangsung. Banyak nilai murni yang berkaitan dapat diterapkan.

Unit Bimbingan Dan Kaunseling menjalankan aktiviti mentor mantee  pada hari Isnin mengambil masa perhimpunan agar dapat memupuk budaya penyayang dengan sifat kasih sayang dalam keadaan tidak formal dalam kalangan guru dan pelajar dan menyemai sikap hormati guru. Nilai murni pula disampaikan pada setiap hari Khamis untuk slot kaunseling dan disiplin sewaktu perhimpunan pagi sebelum masuk ke kelas.

 7) Bagi sekolah yang murid tidak cemerlang, pihak sekolah bermasalah dengan kehadiran murid jika bengkel pemantapan disiplin dan sahsiah dibuat di sebelah petang. 
Guru kaunseling menjalankan sesi kaunseling sewaktu masa persekolahan. Ini kerana bagi kes pelajar bermasalah disiplin, masa instruksional yang sesuai untuk menjalankan sesi kaunseling adalah sewaktu masa persekolahan kerana mereka bersedia untuk menerima kaunseling berbanding selepas waktu persekolahan. Begitu juga untuk aktiviti program dan bengkel berkaitan sahsiah dan disiplin, akan diadakan sewaktu masa persekolahan kerana pihak unit bimbingan dan kaunseling percaya bahawa masa instruktional pelajar di dalam kelas akan lebih baik dan berkesan jika masalah dalam diri pelajar itu dapat dibantu terlebih dahulu untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran mereka.

8     8) Mewujudkan media sosial. 
       Blog ialah laman web yang dikendalikan dengan entri yang kerap dan sentiasa dikemaskini oleh penilik blog. Entri berbentuk penerangan mengenai peristiwa, bahan grafik atau video. Penggunaan teknologi menerusi blog dapat membantu murid berhubung cara online dengan guru-guru kaunseling. Facebook unit bimbingan dan kaunseling, page unit bimbingan dan kaunseling dan blog unit bimbingan dan kaunseling ialah medium penting dalam menghubungkan guru kaunseling dengan para pelajar dan bukannya menggunakan media sosial peribadi. Nazir SKPM yang datang melawat UBK pada tahun 2012 telah memberikan band 6 kepada Unit Bimbingan Dan Kaunseling kerana inovasi menggunakan media sosial ini yang belum lagi meluas penggunaannya dalam kalangan unit kaunseling sekolah lain ketika ini.
  
        9) Bekerjasama dengan ibu bapa bagi urusan menghantar dan mengiring pasukan sekolah  
         sesuai dengan bidang khidmat bantu kepada sekolah melalui Sarana Ibu Bapa dan Komuniti 
        Apabila guru kaunseling terlibat dalam mengira data soal selidik sarana sekolah dan ibu bapa, guru kaunseling dapat mengenal pasti ibubapa yang berminat untuk membantu pihak sekolah berdasarkan Soal Selidik Sarana Ibu Bapa. Oleh itu guru kaunseling menghubungi ibu bapa yang dapat membantu untuk urusan menghantar dan mengambil pelajar. Ini kerana pada masa kini, apabila murid menjadi peserta kursus atau ceramah, guru tidak perlu turut serta hanya perlu mengambil dan menghantar peserta sahaja ke sesuatu kursus. Perjalanan sahaja boleh mengambil masa sehingga 2 jam urusan pergi dan balik ke tempat berkursus. Oleh itu dengan cara ini guru dapat melindungi masa instruksionalnya dan berada di sekolah.

DAPATAN AMALAN
1)   Unit kaunseling dapat melindungi masa instruktionalnya berpandukan rancangan tahunan unit bimbingan dan kaunseling dengan menjalankan silibus dan modul mengenai bidang akademik, kerjaya, psikososial, keibubapaan, pembangunan diri dan pendidikan pencegahan dadah untuk para pelajar.

2) Mengelakkan kelas tiada guru dan menggabungkan kelas – kelas di dewan agar dapat mengadakan aktiviti berbentuk ceramah dan taklimat mengenai halatuju pelajar, kemahiran belajar dan sebagainya untuk sekurang-kurangnya 2 masa pengajaran.

3) Hasil dari kajian tindakan guru kaunseling untuk meningkatkan disiplin pelajar, maka buku rekod kawalan kelas digunakan dengan lebih berkesan. Untuk mengelakkan buku tersebut hilang, diwujudkan buku kawalan kelas berdasarkan bulan dan ruang diwujudkan untuk bahagian tindakan dan hukuman untuk rekod. 

4)  Sekiranya masalah disiplin pelajar dapat diatasi, maka pembelajaran instruksional akan meningkat kerana kurang masa digunakan oleh guru mengurus disiplin pelajar tersebut. 

5)      Melalui media sosial, guru kaunseling akan mendapatkan maklumat awal mengenai   
pelajar dan sekaligus membantu pelajar melindungi masa instruktional pelajar tersebut dalam akademik.

6) Apabila masa instruksional kelab dan persatuan terjaga, maka objektif untuk penubuhan kelab dan persatuan itu sendiri tercapai. Kelab Kerjaya merupakan antara kelab yang diiktiraf sebagai teraktif di sekolah selama 3 tahun berturut dengan pencapaian yang baik di peringkat Zon Pudu. 

7) Ibu bapa memberikan kerjasama seperti yang terkandung dalam Sarana Ibu Bapa apabila diminta oleh guru kaunseling untuk tujuan menghantar dan mengambil pelajar yang terlibat dengan program di luar. Oleh itu ia menjimatkan bilangan guru yang terlibat untuk urusan menghantar dan mengambil pelajar dan seterusnya membantu melindungi masa instruktional guru tersebut dalam pembelajaran di sekolah.

CADANGAN 
1) Bekerjasama dengan Jawatankuasa Jadual Guru Ganti Sekolah untuk memberikan guru kaunseling kelas ganti bagi memenuhi masa instruktional guru kaunseling dalam perlaksanaan modul. Apabila Jawatankuasa tersebut memahami keperluan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling maka kelas ganti yang diberikan adalah dari kelas yang berbeza atau kelas yang diperlukan oleh guru kaunseling dalam minggu tersebut untuk menjalankan modul dan bukannya menggunakan modul guru mata pelajaran semata-mata. Ini untuk mengelakkan guru kaunseling dieksploitasikan untuk dijadikan guru ganti pilihan pertama semata – mata hingga ada sekolah yang mencecah 10-15 masa seminggu walhal sesi kaunseling individu dan kelompok  juga merupakan masa instruksional guru kaunseling di bilik kaunseling.  

2) Melalui penggunaan VLE-Frog, guru kaunseling mempunyai site sendiri untuk Unit Kaunseling dan site untuk setiap guru kaunseling.
Setiap pelajar mempunyai kata laluan untuk menggunakan VLE-Frog sebagai satu medium rasmi dalam sekolah dan ini menggalakkan pelajar untuk menyampaikan masalah mereka kepada guru kaunseling melalui e-mail rasmi dan membantu pelajar melalui interaksi di alam maya . Ini melindungi masa instruktional pelajar tersebut dalam aktiviti mata pelajaran di sekolah. Guru kaunseling akan mengatur pertemuan dengan pelajar jika masalah perlu dirujuk secara bersemuka.

3) Selaku penyelaras Sarana Ibu Bapa dan Sekolah yang dilantik, guru kaunseling boleh menggerakkan jawatankuasa sokongan ibu bapa  untuk membantu pihak sekolah dalam aspek khidmat bantu kepada pihak sekolah. Guru kaunseling dapat mengenal pasti ibu bapa yang sanggup meluangkan masa untuk aktiviti khidmat bantu di sekolah dan menyimpan data ibu bapa tersebut untuk dihubungi terutama dalam aspek mengiringi murid dalam aktiviti luar bilik darjah.

4) Terlibat dengan Operasi Lewat dan dapat mengenalpasti dengan segera pelajar yang sering terlibat dengan masalah lewat ke sekolah sehingga menggangu masa instruktional pelajar itu dan guru mata pelajaran sendiri dan khidmat membantu dapat dijalankan.


KESIMPULAN
Guru kaunseling juga mempunyai masa instruksionalnya yang perlu dilindungi mengikut perancangan tahunannya. Kebanyakan guru atau pentadbir hanya memikirkan mengenai masa instruktional adalah di antara masa pelajar dengan mata pelajaran semata-mata. Oleh kerana itu terdapat sekolah yang tidak membenarkan guru kaunseling menjalankan sesi kaunseling bersama pelajar atau mempersoalkan mengenai keperluan menjalankan program ceramah atau taklimat sewaktu masa pembelajaran akademik. Oleh itu diharapkan melalui penulisan artikel ini, amalan guru kaunseling dalam melindungi masa instruktional lebih dilihat sebagai suatu proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru kepada murid berbentuk arahan, tunjukcara, penerangan lisan dan bukan lisan melalui ceramah, taklimat dan sesi kaunseling membolehkan murid belajar secara lebih berkesan untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran murid dalam aspek yang lebih menyeluruh bukan sahaja dalam perkembangan akademik tetapi juga peribadi, kemasyarakatan, sosial dan vokasional.

RUJUKAN
Amla Salleh, Zuria Mahmud dan Salleh Amat (2006), Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah. Selangor: UKM.
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian,(2013). Sarana Ibu bapa.  Putrajaya: KPM
Mohamed Fadzil Che Din,(2012). Pengenalan Kaunseling. Kota Bharu:  Excellent Mind Resources
Suradi Salim.(1996). Bimbingan Dan Kaunseling. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd















 

Telegram Channel