20 April 2014

Esei Harapan dan Wawasan Guru Cemerlang

Seriously !!!  I want to vomit
After 8 hours in front of my laptop

Akhirnya siap juga esei ni. Bila dah siap baca balik ..aikk esei camni pun boleh berhari - hari buat! 

 
HARAPAN  DAN WAWASAN SEBAGAI GURU CEMERLANG

“Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi”  merupakan tema sambutan Hari Guru tahun 2014 selaras dengan transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke-21 iaitu berfikiran kritis dan kreatif serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia  2013-2025. Harapan dan wawasan saya adalah untuk memenuhi seruan tersebut kerana guru bertindak sebagai pencetus idea kepada kreativiti dalam usaha melahirkan generasi intelek dan berdaya saing. Oleh kerana itu, sebagai guru cemerlang, saya perlu menjadi penggerak dan agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai ketrampilan yang tinggi dari segi personaliti, selain mempunyai pemikiran yang luas dan strategik.
Guru cemerlang dapat ditakrifkan sebagai seorang guru yang istimewa, berdedikasi dan bermotivasi. Melalui pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2008, Anugerah Guru Bestari pada tahun 2012 di peringkat Zon Pudu  dan Anugerah Guru Penasihat Kelab Terbaik selama tiga tahun berturut-turut 2011 hingga 2013 serta mempunyai rekod kehadiran ke sekolah yang cemerlang, saya berharap agar budaya kerja cemerlang saya dapat diteladani oleh rakan sekerja dengan menjadikan  pengiktirafan budaya kerja cemerlang saya sejak dahulu hingga kini sebagai sumber inspirasi guru lain agar berkhidmat  dengan cemerlang dan menjadi model ikutan kepada guru–guru muda.  Saya juga bertindak selaku sumber rujukan kepada guru–guru  di sekolah yang memerlukan pandangan dan bimbingan saya untuk sesuatu program yang akan dijalankan. Wawasan saya agar semua guru berupaya mengamalkan budaya kerja cemerlang yang kreatif dan berinovasi agar kemenjadian murid dalam bidang kurikulum, kokurikulum, dan sahsiah tercapai seperti yang terkandung dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia.

Guru cemerlang juga mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam bidang tugasnya,hasil daripada himpunan pelbagai pengetahuan dan pengalaman yang luas dan berterusan pada sepanjang tempoh perkhidmatannya. Saya  lulus dalam peperiksaan PTK untuk kertas bimbingan dan kaunseling dengan sekali pengambilan sahaja setiap kali peperiksaan anjakan gaji untuk melayakkan saya mendapat anjakan tangga gaji dari P1 ke P2 dan seterusnya ke P3 sewaktu di DG 41. Hal ini menunjukkan bahawa saya sangat menguasai bidang kepakaran saya iaitu bimbingan dan kaunseling dan menjadi rujukan guru–guru bahkan guru kaunseling dari sekolah yang lain untuk mengendalikan pelbagai kes pelajar. Harapan saya sebagai guru cemerlang, saya berupaya menguasai pendekatan kaunseling yang baru dan lebih kreatif melalui latihan dan kursus yang tidak bersifat konvensional agar sesuai dengan pendekatan generasi Y pada masa ini untuk membantu pelajar yang bermasalah berfungsi kembali sebagai pelajar yang berdaya saing di sekolah. Saya mempunyai wawasan yang tinggi untuk menghasilkan  inovasi  dengan pembinaan modul yang memberikan panduan tentang teknik tertentu yang lebih berkesan berdasarkan kes-kes pelajar mengikut kajian kes yang biasa saya kendalikan untuk dikongsikan dengan guru-guru kaunseling yang lain.
Mengikut dasar Kementerian Pendidikan Malaysia, kuota guru kaunseling mengikut nisbah pelajar iaitu 500 pelajar untuk seorang guru kaunseling. Oleh kerana itu, ada sekolah yang mempunyai seorang guru kaunseling sahaja dan ada yang mencecah lima orang guru kaunseling di sekolah menengah harian biasa. Guru kaunseling tidak mempunyai personalia yang tepat untuk dijadikan rujukan di sekolah kerana dikelilingi oleh guru mata pelajaran yang mempunyai skop tugas yang berbeza. Oleh itu, mereka perlu dibimbing oleh guru kaunseling juga dari sekolah yang lain. Saya mempunyai keinginan yang kuat untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya yang luas. Hal ini kerana sebagai guru kaunseling yang telah berkhidmat di sekolah selama hampir 14 tahun, saya merupakan di antara tiga orang guru kaunseling yang paling berpengalaman di Zon Pudu ini.  Berada dalam Ahli Jawatankuasa Induk Guru Bimbingan Dan Kaunseling Zon Pudu selama tujuh tahun dan sekarang memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Guru Kaunseling Zon Pudu menjadikan saya sebagai guru rujukan kepada semua ahli guru kaunseling Zon Pudu.  Harapan saya jika saya dilantik sebagai guru cemerlang saya dapat menggunakan kepakaran saya untuk bergerak dari sekolah ke sekolah yang memerlukan kunjung bantu dengan merealisasikan wawasan saya dalam membentuk pasukan mentor mantee antara guru kaunseling baru yang berkhidmat di bawah lima tahun dan guru kaunseling berpengalaman yang berkhidmat lebih 10 tahun. Hal ini kerana hanya guru kaunseling sahaja memahami keperluan dan sokongan yang diperlukan oleh guru kaunseling yang lain dan memerlukan bimbingan dari rakan sekerja guru kaunseling dari sekolah lain yang lebih berpengalaman. Saya juga berharap dengan status guru cemerlang saya dapat mempengaruhi Pejabat Pelajaran Daerah Pudu untuk membantu wawasan saya dalam membentuk satu pasukan konsultan yang terdiri dari guru-guru kaunseling berpengalaman lebih 10 tahun di Zon Pudu untuk  menjalankan  program di sekolah –sekolah Zon Pudu khasnya yang memerlukan perkhidmatan ceramah motivasi dan pembentukan sahsiah secara percuma dengan konsep bantu- membantu sesama rakan sekerja agar kami tidak perlu lagi membayar perkhidmatan konsultan luar yang agak mahal.  Oleh kerana itu, jika ada jaringan rangkaian yang baik pasukan ini boleh bergilir-gilir membantu menjadi konsultan kepada sekolah lain.  
Akhir sekali sebagai seorang guru cemerlang saya ingin memastikan bahawa saya akan melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan ke arah mewujudkan modal insan yang unggul.  Berdasarkan amalan dan penghayatan prinsip kerja X- Plus, saya berazam agar dapat mencapai sasaran untuk mencapai kecemerlangan yang melepasi standard yang pernah dicapai.
 

Telegram Channel