Total Pageviews

Subscribe Here

TERIMA KASIH PEMBACA

22 April 2014

Esei Usaha Meningkatkan Profesionalisme Bidang Bimbingan Dan Kaunseling

A night with my laptop

Rasa mcm dah siap tapi asyik edit dan edit untuk menjadikan esei ni lebih telus dan tidak bersifat terlalu ilmiah yang sarat dengan dasar atau pekeliling atau literature review...huh...inilah hasilnya. Nak bagi my best friend kat sekolah iaitu Cikgu Afiqah baca..cikgu Bahasa Melayu yang kreatif dgn pelbagai idea dan selalu jadi editor untuk pelbagai esei dan artikel saya selama ni. 

 
USAHA UNTUK MENINGKATKAN PROFESIONALISME DALAM
BIDANG BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Falsafah perkhidmatan bimbingan dan kaunseling menyatakan bahawasanya setiap pelajar mempunyai potensi yang boleh digembelengkan secara optimum menerusi pengurusan menyeluruh perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang cekap, berkesan dan beretika dengan berteraskan sumber dalaman dan luaran bagi melahirkan pelajar yang seimbang dalam aspek intelektual, jasmani, emosi dan rohani. Sebagai seorang kaunselor profesional, kaunselor perlu menguasai ilmu dan kemahiran kaunseling individu, kelompok, kaunseling perkahwinan dan keluarga, memiliki ciri-ciri personaliti serta nilai-nilai tertentu, bahkan ia juga perlu dipandu dan dibimbing dengan kod etika yang ditetapkan dalam profesion kaunseling di Malaysia bagi melaksanakan tugasnya secara profesional dan beramanah. Oleh itu saya berusaha meningkatkan profesionalisme saya dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dengan mendaftarkan diri dengan Lembaga Kaunselor Malaysia untuk dikenali sebagai kaunselor berdaftar pada  26 Februari 2013 dengan nombor pendaftaran PA02682.
Pengalaman saya sebagai penceramah, fasilitator dan jurulatih membantu saya meningkatkan profesionalisme diri sebagai seorang guru kaunseling. Saya percaya penyelidikan dan persediaan semasa membina bahan untuk bertugas sebagai penceramah dan fasilitator  membantu saya memahami bidang kepakaran saya dengan lebih mendalam dan membantu meningkatkan profesionalisme dalam bidang perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Saya juga berusaha untuk menyumbang tenaga dan pengalaman ke arah meningkatkan profesionalisme guru–guru lain. Saya telah dijemput menyampaikan taklimat dan mengetuai pelbagai projek yang menuntut perkongsian pengalaman untuk dijadikan panduan kepada guru-guru kaunseling yang lain.
Kajian tindakan merupakan satu kaedah pihak pengurusan sekolah untuk mendapatkan maklumat atau data mengenai sesuatu permasalahan. Oleh itu saya berusaha meningkatkan profesionalisme saya dengan membudayakan amalan penyelidikan sebagai strategi penyelesaian masalah berteraskan bukti dan fakta melalui kajian tindakan. Data tersebut digunakan untuk membuat keputusan, perancangan untuk menyelesaikan masalah di samping dapat menyumbang kepada pengetahuan dalam bidang pengurusan pendidikan sekolah. Saya merupakan ahli jawatankuasa kepada mesyuarat pengurusan sekolah, ketua Unit Bimbingan Dan Kaunseling sekolah dan ahli jawatankuasa lembaga disiplin sekolah, Oleh kerana itu, setiap tahun sekurang-kurangnya satu hasil kajian tindakan yang telah  saya jalankan untuk menambahbaik peraturan dan sistem pengurusan sekolah.
Saya juga menghadiri latihan dalam perkhidmatan, kursus dan bengkel yang dianjurkan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri WPKL dan Kementerian Pendidikan terutama dalam bidang bimbingan dan kaunseling supaya dapat pendedahan yang releven dan terkini. Perbincangan secara profesional tentang kes-kes yang dikendalikan boleh membantu untuk mendapatkan idea, teknik baru dan dapat mengaplikasikan teori-teori dengan terbimbing. Saya juga berusaha untuk menyertai bengkel dan kursus yang dikelolakan oleh pihak swasta seperti Persatuan Kaunseling Malaysia,serta menyertai badan bukan kerajaan pada hari minggu atau pada cuti sekolah untuk meningkatkan profesionalisma saya, Ini kerana,saya percaya latihan dalam perkhidmatan yang dijalankan serta pengalaman itu dapat membuka peluang untuk perkongsian pintar dengan pakar–pakar kaunseling dan motivasi dari luar persekitaran Kementerian Pelajaran Malaysia.
Saya juga meningkatkan kemahiran diri saya sebagai seorang guru kaunseling yang profesional dan berkesan melalui jaringan komunikasi yang luas dalam kalangan guru kaunseling dan agensi-agensi yang lain. Pengalaman hamper 14 tahun berada dalam Jawatankuasa Guru Kaunseling Zon Pudu menyebabkan hubungan antara semua guru kaunseling Zon Pudu  rapat. Kami berkongsi pengalaman dan memberi sokongan antara satu sama lain. Saya juga merupakan ahli jawatankuasa dalam Majlis Guru Kaunseling Kuala Lumpur yang memudahkan saya menerima maklumat terkini mengenai perkhidmatan bimbingan dan kaunseling untuk diambil tindakan. Saya juga menjalinkan kerjasama dengan pegawai dari agensi luar seperti Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara, Balai Polis Pudu, Ibu Pejabat Polis, Biro Pendidikan Yayasan Pendidikan Cheras, Klinik Kesihatan Cheras, kolej – kolej swasta dan pelbagai badan bukan kerajaan agar dapat menangani pelbagai masalah pelajar dengan cara yang lebih profesional dan tepat.
Sebagai guru kaunseling yang mengendalikan generasi Y, saya percaya terhadap kuasa media sosial yang sangat mempengaruhi para pelajar sekarang. Oleh itu bagi mendekati pelajar dan meningkatkan profesionalisme saya dalam memahami dunia mereka, saya juga harus mahir dalam menggunakan pelbagai gajet dan mengetahui penggunaan pelbagai media sosial seperti Facebook, Instagram, blog dan Whatsapp untuk berkomunikasi dengan para pelajar. Saya mempelajari bagaimana menggunakan teknologi maklumat ini agar mudah dihubungi oleh para pelajar dan dalam masa yang sama menyelami dunia remaja mereka. Dengan adanya penggunaan VLE –Frog sebagai medium perantara rasmi di sekolah yang boleh diakses oleh semua warga sekolah malahan ibu bapa, maka saya harus sentiasa mengemas kini maklumat dan mempromosikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang lebih profesional di alam maya untuk makluman warga sekolah dan ibu bapa.
Kesimpulannya, guru kaunseling sekolah yang profesional ialah guru kaunseling yang dapat menggunakan semua ilmu kaunseling yang dipelajari untuk menangani isu yang dibawa oleh pelajar dengan berkesan. Ilmu yang sepatutnya menjadi landasan kepada segala aktiviti yang dilakukan termasuklah pelbagai teori dan teknik kaunseling, etika kaunseling, pengendalian kaunseling individu, kaunseling kelompok, kaunseling keluarga, pengetahuan kaunseling silang budaya, pengendalian program kerjaya dan proses konsultasi dengan pelbagai pihak. Jesteru keberkesanan profesionalisme guru kaunseling adalah apabila terdapat perubahan pada diri pelajar dari aspek perasaan dan pemikiran yang digambarkan melalui tingkah laku yang menjadi cerminan hasil daya usaha seseorang guru kaunseling itu membimbing pelajar tersebut.







No comments: