2 September 2014

Konsultasi ibu bapa: Masalah depress anak

Hi September
Back to normal shift
Officially 7.30 - 2.30 pm
Available 7.00 - 4.30 pm


Selamat datang semula ke sesi pagi  seawal 7.00 pagi berada di pintu pagar sekolah menyambut kedatangan pelajar sekolah satu aktiviti yang saya selesa menjalankannya sejak dari sebelum program guru penyayang diwujudkan. Ini kerana saya merasakan bertugas di pintu pagar adalah peluang saya untuk mendekati lebih ramai pelajar dengan lebih dekat kerana dapat menegur dan berkomunikasi dengan lebih dekat.

Hari ini berkonsultasi dengan ibu pelajar seawal pukul 7.30 pagi di luar pagar sekolah. Klien saya yang mengalami kemurungan menyebabkan komunikasi saya dengan ibunya memang kerap untuk saling berkongsi perkembangan pelajar. Seorang pelajar yang cantik tetapi mengalami kemurungan menyebabkan perkembangan sosialnya adalah terhad dengan faktor rakan sebaya di dalam kelas yang tidak menggalakkan untuk sokongan emosi dan sosial. Pelajar bergantung dengan ubat-ubatan dan memakan ubat menyebabkan pelajar menjadi pasif dan tidak bermaya. Kerap tidur di dalam kelas dan jika mengalami masalah emosi iaitu kesedihan dan kurang bermaya memang bilik kaunseling adalah tempat terbaik untuknya. Masih di bawah pemantauan pakar terapi, apa yang saya dapat lakukan ialah kemahiran melayan dan memberikan celik akal kepada pelajar agar tidak terlalu mengikut kata hati untuk bersedih setiap hari. Sekolah ini merupakan sekolah ketiganya kerana kerap bertukar sekolah dan ibu akan menuruti permintaan anak. Mengalami kemurungan selepas dimasukkan ke sebuah sekolah berasrama dan sejak itu pelajar menjadi tidak ceria dan tidak bercakap. Melalui terapi bertutur yang dijalankan di hospital, pelajar sudah dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dengan bercakap dengan orang lain tetapi tingkah lakunya amat menjengkelkan rakan sebaya menyebabkan dia tidak mempunyai kawan baik di sekolah apatah lagi kawan untuk berbual. Pelajar juga suka mereka cerita mengikut fantasinya menyebabkan pelajar sukar untuk bergaul dengan orang lain malah perkara ini juga membimbangkan ibunya.

Memang tidak mudah menjaga pelajar kemurungan di sekolah. Saya perlu menjalinkan kerjasama dan memberikan penerangan yang baik kepada guru kelas dengan keizinan ibu pelajar. Saya juga perlu memantau sasaran pelajar di dalam kelas klien yang sering menimbulkan kemarahan atau kesedihan klien. Isu guru mata pelajaran juga perlu diambil kira untuk memaklumkan jika klien benar-benar tidak dapat berfungsi sebagai pelajar yang sihat mental dan emosi pada hari tersebut kerana dikhuatiri akan dikatakan ponteng dan dikenakan tindakan disiplin. Dan yang paling menyentuh hati keibuan saya apabila setiap kali berkonsultasi dengan ibu, perbualan akan terhenti kerana ibu kerap mengalirkan air mata. Menyelami hati si ibu saya faham kesabaran tahap tinggi diperlukan oleh ahli keluarga bagi menangani masalah kemurungan anak. Kehadiran ke sekolah yang on off on off juga tanpa surat sakit memerlukan toleransi dari pihak sekolah sendiri untuk mengesahkan bahawa pelajar itu tidak layak diberi surat amaran kerana ponteng sekolah dan perkembangan positif atau negatif pelajar perlu dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada guru kelas.

Saya cuba untuk memastikan pelajar yang menghidap stres tidak mengalami kemurungan yang teruk, Saban tahun saya akan mendapat klien yang begini dan terus terang saya katakan tidak mudah untuk membawa mereka keluar dari kepompong kemurungan jika tidak mendapat sokongan emosi dari ahli keluarga, rakan rakan dan persekitaran yang menyokong. Ada pelajar yang dirujuk ke pakar psikiatri menunjukkan tanda kemurungan di hadapan orang lain tetapi ada yang tidak! Mereka ceria dan normal di hadapan orang lain sehingga rakan sekelas dan rakan sebaya tidak mengetahui bahawa rakan mereka mengalami kemurungan yang teruk! Hanya guru kaunseling yang mengetahuinya dengan ahli keluarga menyebabkan jika ada krisis yang berlaku di sekolah, saya akan mengambil tindakan segera walaupun pada dasarnya bagi pelajar biasa isu yang menimbulkan krisis adalah isu yang biasa dialami oleh rakan sebaya seperti bergurau senda keterlaluan, mengejek orang lain, merajuk dengan kawan atau sebagainya.Tidak mudah juga bagi ibu bapa untuk memaklumkan kepada orang lain selain guru kaunseling keadaan anak mereka kerana masih beranggapan bahawa masyarakat kita masih menerima masalah mental sebagai gila apatah lagi dirujuk ke pakar psikiatri. ..dan bukan senang juga untuk saya memujuk ibu bapa merujuk anak mereka ke pakar psikiatri bagi masalah mental pelajar. Ini kerana saya tau limitasi saya sebagai guru kaunseling...mendengar pendapat yang lebih arif dan pakar lebih baik dari bergantung kepada konsultasi dengan guru kaunseling sahaja.
 

Telegram Channel