12 January 2015

Konsultasi ibu bapa di hari orientasi Ting 1

Hari pertama buat Izz Farhan
Melangkah kaki ke sekolah rendah
Ibu datang bersama buat peneman
Wajahmu riang, ibu tidak gundah


Hari orientasi pelajar tingkatan 1 di dewan SMK Cheras bersama pentadbir sekolah. Saya di luar dewan dengan karenah dan melayan pertanyaan dari ibu bapa yang berada di sekitar dewan. Macam macam cerita dan kisah untuk saya take a note sebagai sumber rujukan. 

Seorang ibu mendekati saya dengan wajah yang muram bertanyakan mengenai kelas anaknya kerana tiada dalam senarai sekolah memandangkan dia baru sahaja menukarkan anaknya ke sekolah ini. Selain itu juga mengenai bantuan kewangan yang boleh diperolehi. Bersimpati dengan nasibnya yang menanggung anak yang tidak diketahui statusnya. Pada mulanya ibu ini begitu segan untuk meneruskan cerita apabila saya bertanya mengenai latar belakang keluarga memandangkan dia bertanya tentang bantuan Baitulmal. Rupanya anak ini ialah cucunya sendiri yang berada di bawah jagaannya memandangkan bapa pelajar ini dipenjarakan dan ibunya pula tidak tetap arah tujuan. Oleh itu walaupun puan ini ialah neneknya, tetapi pelajar tersebut memanggilnya ibu. Betapa hati keibuan saya tersentuh....menjadi guru kaunseling di sekolah menengah harian biasa dengan hampir 50% kadar sosioekonomi yang fakir, rendah dan sederhana rendah di kawasan ini, maka senario mendengar cerita begini adalah biasa bagi saya yang hampir 15 tahun berkhidmat di sini. Secara amnya kes begini, akan kami masukkan dalam list sebagai priority pelajar yg tidak bernasib baik.

Seorang ibu lagi mendekati bercerita mengenai anak yang mempunyai masalah jantung dan memerlukan rawatan dan rujukan doktor pakar dan risau jika kesihatan anaknya apabila tidak hadir ke sekolah menyebabkan kehadiran ke sekolah merosot. Ini kerana setiap kali rawatan injection, anaknya akan berada dalam kesakitan dan tidak selesa. Sambil menujukkan kad rawatan doktor sebagai bukti dan surat pengesahan dari Baitulmal yang menunjukkan pelajar itu mendapat bantuan Baitulmal. Anak kedua yang diharapkan dapat meneruskan persekolahan dan menghabiskan persekolahan di menengah atas memandangkan kakaknya keciciran sekolah menengah akibat stress di sebuah sekolah menengah yang lain. Memandangkan adik adiknya yang kecil, saya bersimpati dengan keluarga ini. Saya hanya boleh memberi jaminan memaklumkan kes pelajar kepada guru kelas agar dapat mengambil langkah berhati hati. Si bapa inginkan anaknya aktif kerana ia memberikan kegembiraan kepada anaknya, dan saya memaklumkan bahawa langkah pencegahan lebih baik agar pihak sekolah dan guru matapelajaran tidak memberikan aktiviti berat kepada pelajar tersebut. Kes begini bagi UBK, kami akan klasifikasikan sebagai kes keperluan khas yang mana pelajar akan didekati dan kaunseling secara berkala. Jika ada bantuan pada hari perayaan atau zakat, pelajar akan tersenarai dalam list pelajar yang layak diberikan bantuan , selain dari Baitulmal sendiri.

Seorang ibu lagi mendekati saya memaklumkan bahawa statusnya sebagai ibu tunggal. Bercerai dengan suaminya dan merebut hak penjagaan anak adalah sesuatu yang lumrah didengari. Walaubagaimanapun si ibu agak trauma kerana di sekolah rendah, percubaan bekas suami memindahkan anaknya ke sekolah lain berjaya dikesan oleh si ibu menyebabkan si ibu sempat berjumpa dengan guru besar untuk membatalkan permohonan pertukaran pindah sekolah dari sekolah rendah tersebut. Mengingati mimpi ngeri itu, menyebabkan ibu ini ingin mengambil langkah berjaga - jaga dengan memaklumkan kepada pihak sekolah butiran peribadi anaknya dan meminta kuasa agar si ibu sahaja yang layak membuat keputusan bagi pihak anaknya samada ingin bertukar sekolah atau menjemput anaknya balik jika ada apa - apa masalah. Bagi kes ini, nama anak akan diberikan kepada kerani sekolah dan penolong kanan petang agar alert jika ada percubaan menukarkan sekolah anaknya tanpa pengetahuan si ibu. Ini kerana permohonan pertukaran sekolah akan diuruskan oleh kerani sekolah dan setelah siap ditaip barulah diajukan kepada pengetua. 

Seterusya seorang ibu yang lain pula datang bertanya jika dia dapat memasukkan anaknya yang langsung tidak mendapat didikan sekolah agama yang formal untuk mengikuti kelas aliran agama KAA di sekolah.Terus siibu mengadu nasib bahawa anaknya tidak mengikuti sekolah rendah agama kerana kesempitan hidup akibat bercerai dengan suami dan membesarkan anak seramai 6 orang dalam keadaan yang agak sukar. Oleh itu dia tidak mampu untuk menyekolahkan anak di sekolah rendah agama. Walaubagaimanapun pelajar ini juga memohon asrama dan sekolah agama bantuan yang lain yang medapat pembiayaan umpama biasiswa belajar bagi yg kurang bernasib baik. Jawapan masih ditunggu sama ada dapat atau tidak...

Dihujung dewan saya ternampak sepasang couple. Teringat kepada ibu tu yang merupakan klien saya tahun lepas yang banyak berendam air mata apabila bercerai dengan suaminya dan berebut hak penjagaan anak sehingga suami mengambil anak lelakinya dan sukar untuk dia berjumpa dengan anaknya sendiri malah tidak dapat berhubung langsung dengan anaknya. Nampaknya cuti sekolah yang lepas, mungkin mereka telah berbincang dengan baik dan mencapai kata sepakat menyekolahkan anak kedua mereka di sekolah ini walaupun si bapa telah berkahwin lain dan si ibu bergelar ibu tunggal. 

 

Telegram Channel