10 February 2015

Talian Kasih: Kes ponteng sekolah surat amaran kedua


When things are bad,remember!
It won't always be this way
Take one day at a time

When things are good, remember!
It won't always be this way
Enjoy every great moment

Hari ini saya menyemak senarai alamat rumah yang perlu saya kunjungi. Memandangkan saya cuma ada 2 jam sahaja kerana mesyuarat bersama ahli PRS pada pukul 2.30 petang nanti. Hari ini Cikgu Padali cuti rehat maka marathon la buat sesi kaunseling dan mengajak cikgu praktikal untuk bersama -sama menemani saya. Orait destinasi pertama ke Flat Sri Pulau Pinang. Rumah yang daif kerana ketua keluarga hilang mata pencarian akibat masalah kaki selepas kemalangan. Si ibu yang mencari nafkah dengan hanya menjual kerepek kerana tidak tahu membuat kuih. Dua anaknya yang telah dibuang sekolah kerana kerap tidak hadir sekolah pada tahun lepas. Saya memintanya mengisikan borang rayuan bersekolah semula kerana Januari telah berlalu tetapi masih tidak merayu untuk membuat permohonan bersekolah semula. Oleh kerana si abang akan bersekolah di ting 3 di sesi pagi maka saya mudah memantau kehadirannya ke sekolah selepas ini. 

Rumah kedua ialah rumah pelajar ting 3 di Flat Sri Sabah. Pelajar yang masuk ke sekolah hujung tahun lepas dan selepas mendaftkan diri terus tidak datang ke sekolah. Saya menjejak pelajar ini ke rumah memandangkan tiada nombor telefon dan tiada kehadiran langsung bagi bulan Januari. Menjenguk ke rumah pelajar pada pukul 11.00 pagi menghairankan saya kerana ahli keluarga rumah tersebut masih tidur pada pukul 11.00 pagi ! Dan kedudukan dalam rumah tersebut seperti tidak berkemas langsung. Memandangkan ibu tiada di rumah, kerana bekerja dan ayah pula telah meninggal dunia sejak 5 tahun lepas, yang tinggal hanya 4 beradik sahaja. Dari abang yang sulung berusia 18 tahun, abang kedua berusia 17 tahun...semuanya keciciran dan tidak berminat untuk meneruskan persekolahan selepas ting 3. Mereka bersekolah di tempat lain sebelum ini..dan tidak pula bekerja dan sentiasa on off cari kerja. Ini menyebabkan pelajar perempuan ini juga terpengaruh dan tidak mahu belajar apatah lagi bekerja. Hanya tinggal di rumah...saya dapat membayangkan kesusahan ibunya yang seorang diri bekerja. Saya menjejaki ibunya hingga ke tempat kerja sebagai pembantu kedai makan memandangkan saya rasa sesuatu yang perlu diusahakan. Berjumpa dengan ibunya yang menyambut baik kehadiran saya sambil sebak mengenangkan anak-anaknya yang tidak mahu meneruskan persekolahan dan tidak juga mahu membantu untuk bekerja. Saya mengingatkannya bahawa jika masalah ke sekolah kerana masalah kewangan bagi anak yang berada di tingkatan 3 dan tingkatan 1 maka pihak sekolah akan mengusahakan bantuan Baitulmal. Walaubagaimanapun, jika kehadiran tidak memuaskan dan ponteng tanpa sebarang alasan maka urusan permohonan Baitulmal sukar diproses oleh guru Baitulmal sekolah. Saya juga memujuk ibunya untuk mengusahakan anak perempuannya di tingkatan 3 ke kolej kemahiran seperti Institut Kemahiran Baitulmal, GIAT MARA atau kolej komuniti. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu ilmu kemahiran pelajar tersebut jika masih enggan bersekolah di sekolah menengah harian biasa.  

Lawatan seterusnya ke rumah pelajar berbangsa India. Mengetuk pintu rumahnya dan berjumpa dengan nenek uzur di atas kerusi roda. Pelajar tinggal di situ bersama ibunya seorang ibu tunggal selepas bercerai dengan bapanya dan tinggal bersama neneknya. Sewaktu saya berkunjung, ibunya keluar bekerja dan neneknya juga tidak mengetahui nombor telefon ibunya dan rumah tersebut juga tidak ada telefon. Sebelum memohon diri, saya menyerahkan nombor telefon saya kepada jiran sebelah rumah agar ibunya dapat menelefon saya secepat mungkin kerana anaknya sudah mendapat surat amaran kedua. 


 

Telegram Channel