23 June 2015

Analisis Peperiksaan Pertengahan Tahun SPM: Punca Pelajar Gagal

Pengetua telah memberi email kepada saya mengenai analisa peperiksaan pertengahan tahun. Pada mulanya saya membuat analisis kepada pelajar projek permata memandangkan saya penyelaras projek permata di sekolah. Alhamdulillah semua capai target 6A ke atas dengan 2 pelajar straight A, 7 pelajar nearmiss panggilan yang kita beri kepada pelajar yang mendapat 6 A dan ke atas dan subjek lain B sahaja. Hanya 2 pelajar yang mendapat 6A dan ada gred B dan C. Memandangkan pelajar projek permata ini mendapat keputusan yang baik...maka pengetua meminta saya membuat analisis kepada pelajar yang gagal. 

Seramai hampir 130 orang yang GAGAL atau tidak layak mendapat sijil SPM sekiranya peperiksaan pertengahan tahun menjadi kayu ukuran. Satu jumlah yang sangat besar memandangkan 130 / 270 calon SPM yang gagal. Orait pendekatan kaunseling untuk menganalisa permasalahan sebenar pelajar ini. Sebagai guru kaunseling kita lebih melihat permasalahan dari sudut masalah pembelajaran dan masalah peribadi untuk strategi menolong. 

Saya mengkategorikan 130 pelajar yang gagal dari aspek keberadaan di sekolah terlebih dahulu. Saya mengkategorikan pelajar yang mendapat surat amaran 1-2, surat amaran 3 dan dibuang sekolah dan pelajar yang mempunyai kehadiran yang baik iaitu kehadiran penuh ke sekolah sehingga 25 hari tidak hadir ke sekolah dari Januari hingga Mei. Maklumlah biasanya pelajar selalu dikaitkan dengan kehadiran ke sekolah yang rendah penyebab utama gagal dalam SPM namun dari analisis yang saya lakukan di dapati 102 pelajar mempunyai kehadiran yang agak baik iaitu dari kehadiran penuh hingga ke maksimum 20 hari tidak hadir ke sekolah dari Januari hingga Mei 2015. 10 orang pelajar mempunyai kehadiran yang sangat teruk hingga dibuang sekolah. 8 orang pula menerima surat amaran 2 dan 3. Dari 102 orang pelajar ini, saya mengendalikan kaunseling kelompok mengikut kategori kelas untuk mengenalpasti masalah pelajar. Bayangkan 2 tahun berada di tingkatan 4 dan 5 tetapi hasilnya ialah kelulusan PMR semata-mata kerana tidak layak mendapat sijil SPM. Pelajar juga mempunyai kehadiran yang agak baik tetapi mengapa GAGAL ? 

Hasil dari sesi kaunseling yang dijalankan menunjukkan pertambahan pelajar yang GAGAL kerana subjek Sejarah merupakan mata pelajaran WAJIB lulus dan GAGAL Sejarah SPM bererti GAGAL mendapat sijil SPM. Murid sedar bahawa mereka perlu lulus mata pelajaran ini tetapi mereka tidak berapa faham kaitan gagal Sejarah dengan kesan -kesan berlaku selepas ini. Walaupun mata pelajaran elektif atau subjek teras ada yang mendapat kredit atau A sekalipun, tetapi GAGAL dalam Sejarah atau Bahasa Malaysia atau kedua duanya sekali bermakna GAGAL SPM.  Gagal SPM bermakna kelayakan dan kelulusan akademik yang tertinggi hanyalah PMR !! Ini bermakna 2 tahun di menengah atas tiada hasil yang boleh dituai. Majoriti pelajar mengaku bahawa mereka tidak minat dengan subjek ini. Malah tiada inisiatif dari pihak pelajar sendiri untuk menghayati, membuat nota ulangkaji apatah lagi membuka dan membaca buku Sejarah di rumah. Mereka hanya semata-mata mengharapkan pengajaran guru di sekolah malah tamat sahaja pengajaran guru, maka buku Sejarah juga akan ditutup. Jika diberi kerja rumah, mereka membuat kerja rumah seperti pemahaman Bahasa Malaysia iaitu mengambil jawapan dari rencana setiap soalan yang perlu dijawab. Tiada inisiatif untuk memahami jalan cerita. Pelajar tidak faham Sejarah malah pelajar Cina dan India pula mengatakan mereka tidak faham Bahasa Malaysia dengan baik jadi mereka susah untuk memahami Sejarah dan kebanyakan pelajar ini juga mempunyai pakej GAGAL Bahasa Malaysia. 

Saya cuba membimbing pelajar mempunyai teknik yang menyeronokkan untuk membaca Sejarah dengan kesungguhan membuat nota berwarna warni atau perbincangan berkumpulan secara bercerita. Saya menyedarkan mereka bahawa subjek ini walau bosan bagaimana  sekali pun oleh pelajar perlu mempunyai sikap positif terlebih dahulu.Sikap positif yang akan membawa pelajar menerima subjek ini kerana ia merupakan kertas peperiksaan WAJIB LULUS dan antara tiket untuk mendapat atau layak menerima sijil SPM. Jika tidak, tiada gunanya duduk dua tahun di menengah atas tetapi kelulusan setara pelajar yang keciciran sekolah dan berhenti sekolah setelah tingkatan 3 sahaja. 

Menariknya bila deal dengan pelajar kelas lemah ini, mereka suka bersoal jawab. Ada yang mengatakan bahawa mereka dari kelas aliran yang lemah iaitu perdagangan memanglah GAGAL. Lainlah jika mereka dari kelas Sains atau Akaun. hello murid.. aliran kelas adalah label semata -mata kerana kecenderungan dan pencapaian anda selepas PMR. Tetapi apabila anda telah ditempatkan dalam aliran yang sesuai dengan kebolehan, maka jangan toleh ke belakang melihat untung nasib anda selepas PMR. Anda harus buat yang terbaik dengan usaha dan kudrat anda sendiri. Anda hanya perlu LULUS dalam SPM dan syarat kelulusan pula serendah 40 sahaja yang perlu disasarkan. Semua pelajar dari kelas sains hingga ke aliran vokasional mempunyai pakej fizikal yang lengkap dan dikurniakan minda. Yang membezakan ialah usaha bukan bezanya ialah aliran kelas! Semua pelajar LAYAK LULUS dengan usaha. 

Berkonfran dengan pelajar yang sudah membuat kerja luar kononnya untuk menambahkan pendapatan maklumlah pelajar di Kuala Lumpur ini memang suka bekerja part time kerana banyak kerja ditawarkan dan macam -macam jenis kerja! dengan gaji yang mereka rasakan telah lumayan mengatakan tidak perlu untuk LULUS SPM kerana mereka telah merasakan mendapatkan kerja dengan gaji yang bagus dan ada yang mewarisi kekayaan atau bisnes keluarga dan jasad sahaja ke sekolah kerana ibu bapa tidak mahu mereka duduk di rumah atau bekerja sepenuh masa sewaktu masih dalam umur persekolahan. Ada juga yang memang lemah penguasaan dalam semua mata pelajaran kerana memang tidak minat lagi dalam alam persekolahan dan hanya datang ke sekolah untuk kelas akademik sahaja kerana dipaksa oleh ibu bapa dan langsung tidak aktif dengan kokurikulum walaupun perjumpaan persatuan. Saya amat kasihan dengan pelajar jenis personaliti begini. Ibu bapa pula yang disalahkan. Ibu bapa telah menjalankan tanggungjawab dengan baik melahirkan, menjaga keperluan dan melindungi pelajar. Apa yang perlu pelajar jalankan adalah amanah kepada diri sendiri iaitu tanggungjawab kepada diri sendiri untuk menjadi dan menghasilkan keputusan peperiksaan untuk diri sendiri kerana ia kayu pengukur sejauh mana kamu belajar. Jika berjaya dalam hidup walaupun tanpa sijil SPM, tetapi berapa peratus sahaja  orang yang bernasib baik ! Malah orang yang bernasib baik ini pun selepas gagal SPM berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki nasib hidupnya selepas GAGAL SPM. Tetapi anda sekarang yang masih mempunyai masa untuk mengubah sikap, gunakan peluang yang anda sebelum TIADA PELUANG !  

Saya berharap setiap pelajar yang menjalani sesi kelompok ini dapat mempelajari dan berubah sikap untuk menghadapi peperiksaan percubaan SPM bulan Ogos nanti. Jika bukan 130 orang ini sekurang-kurangnya 50 orang boleh LULUS dalam peperiksaan percubaan SPM nanti. Guru mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Malaysia akan melakukan yang terbaik pula di part mereka untuk membantu pelajar. Tetapi bantuan akan berkesan dengan kesedaran dan usaha dipihak pelajar sendiri. Itu yang penting! 



Doa Ramadhan ke 6
Ya Allah, jangan hinakan daku  kerana perlakuan maksiat padaMu, hindarilah aku dari siksaanMu, jauhkan daku  dari perkara -perkara yang menyebabkan kemurkaMu, dengan anugerahMu dan bantuanMu, wahai puncak keinginan orang yang berharap.

 

Telegram Channel