Total Pageviews

TERIMA KASIH PEMBACA !

SEARCH

Loading...

14 October 2015

Esei Hari Pengguna: Pendapat Pengguna Terhadap Perkhidmatan Pengangkutan Awam di Malaysia



Semalam saya menerima sijil penyertaan dari urusetia Hari Pengguna Malaysia untuk esei saya kategori E Bahasa Melayu. Tapi tak pasti adakah kecuaian urusetia yang silap menaip sijil itu yang meletakkan sijil saya dalam kategori Bahasa Inggeris atau silap saya sewaktu online esei ini saya menghantarnya pada kategori Bahasa Inggeris padahal terang lagi bersuluh ia adalah esei Bahasa Melayu. Terkilannya rasa dahlah salah sijil dan lagi terkilan bila fikirkan sudah tentu esei ini tidak diadili jika saya yang menghantar salah kategori. Apapun oleh kerana saya suka share penulisan saya di blog, marilah pembaca blog saya sahaja yang membacanya ahaks...

Tahniah kepada pemenang! 


Pendapat Para Pengguna  Terhadap Perkhidmatan 
Pengangkutan Awam Malaysia

          Pengangkutan awam atau transit awam merangkumi segala sistem pengangkutan yang mana penumpang tidak bergerak menggunakan kenderaan sendiri. Ia menawarkan perkhidmatan berjadual dalam laluan tetap tanpa penempahan. Kadar tambangnya juga telah ditetapkan. Kebanyakan pengguna bergerak dalam lingkungan kawasan tempatan di antara rumah mereka dan tempat kerja, pusat beli belah atau institusi pendidikan. Pengangkutan awam di Malaysia terdiri dari pengangkutan darat seperti teksi dan bas, pengangkutan rel seperti keretapi. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan ditubuhkan secara rasmi pada 3 Jun 2010. SPAD diletakkan di bawah pengawasan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak agar lebih efisyen dan efektif.  SPAD memainkan peranan penting di dalam merancang dan membuat polisi serta mengawalselia pengangkutan awam darat di negara ini seperti keretapi, bas dan teksi serta pengangkutan barang yang menggunakan jalan raya atau rel keretapi. Suruhanjaya ini turut menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang sebagaimana yang dijalankan oleh Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan. SPAD memainkan peranan penting dalam usaha membaik pulih perkhidmatan pengangkutan awam darat di mana usaha ini merupakan salah satu agenda utama Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pengangkutan awam bandar seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Kerajaan, yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

               Sebagai anak jati bandaraya Kuala Lumpur kerana dilahirkan, dibesarkan malah mencari rezeki juga di Kuala Lumpur saya dapat merasakan kepesatan pembangunan perkhidmatan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dari tahun 1970an hinggalah menuju ke era tahun 2020. Saya merupakan pengguna setia pengangkutan awam dari kecil menaiki bas henti-henti merupakan pengangkutan utama untuk pergi ke sekolah dan ke tempat-tempat lain. Saya juga menaiki bas atau keretapi untuk balik ke kampung di Perak.  Dari jalan raya yang kecil, hinggalah jalan raya semakin melebar menjadi lebuh raya dan pembinaan rumah tol yang dibina di laluan utama saya berulang alik ke sekolah pada era 1990an di laluan Cheras - Kajang hinggalah jalan raya dikorek pula untuk pengangkutan rel. Perkhidmatan rel telah menjadi faktor yang penting dalam pengangkutan awam Kuala Lumpur semenjak pembukaan Transit Aliran Ringan (LRT), Sistem Transit Aliran Ringan Sdn. Bhd (STAR) pada tahun 1996 dan kemudiannya LRT SIStem 11 iaitu Projek Usaha Sama Transit Ringan Automatik (PUTRA) pada tahun 1998. Terdapat 50 kilometer rangkaian rel dengan 40 stesen. Monorel menyediakan perkhidmatan untuk kawasan pejabat dan perdagangan lain yang utama di pusat bandar raya yang merupakan penggerak orang ramai di pusat bandar raya yang beroperasi di landasan bertingkat. Pada pendapat saya pada ketika itu, perkhidmatan rel ini mendapat sambutan hebat dalam kalangan warga kota Kuala Lumpur kerana perkhidmatan yang ditawarkan merentasi kawasan strategik penduduk kepadatan tinggi ke pusat bandar seperti stesen LRT yang dibina di kawasan Cheras berdekatan dengan kawasan rumah-rumah pangsa  Projek Perumahan Rakyat , pusat membeli belah dan pusat bandar. Ia merupakan alternatif terbaik sewaktu diperkenalkan memandangkan keselesaan dan kemudahsampaian berbanding perkhidmatan bas yang lebih perlahan dan perlu bersesak di dalam bas dan mengharung kesesakan jalan raya. Perkhidmatan pengangkutan awam adalah penting kerana ia merupakan simbol kepada bandaraya yang efisien bagi membolehkan anggota masyarakatnya mudah sampai ke semua kawasan dan kemudahan agar setiap orang boleh menikmati faedah kehidupan bandar yang maksimum.
          Saya memang gemar mengambil LRT jika ingin ke pusat bandar atau menghadiri mesyuarat. Memandangkan stesen LRT yang terhampir dengan tempat saya bertugas hanyalah 5 minit sahaja maka ia merupakan alternatif terbaik bagi saya. Pengintegrasian mod-mod pengangkutan awam dan dengan tersusunnya kemudahan pertukaran antara mod,perjalananan menjadi lebih senang dan lancar. Sebelum  telefon pintar popular dengan pelbagai aplikasi perisian waze dan “google maps”, saya akan cuba mencari dan mengenal pasti stesen yang terhampir untuk ke tempat mesyuarat dan akses pengangkutan awam lain seperti bas pengantara. Ini kerana saya tidak selesa menggunakan perkhidmatan teksi jika bergerak seorang diri. Saya juga tidak tahu arah kemana ingin dituju jika memandu seorang diri. Maklumlah jalan raya di Kuala Lumpur ini sangat sesak dan sebarang kesilapan kecil masuk ke lorong yang salah atau tersilap arah boleh menyebabkan stres dan penat akibat memandu walaupun tugas belum dibuat! Maka apabila saya perlu menghadiri mesyuarat yang merentasi zon Pudu untuk ke Bangsar, Keramat atau Sentul perkhidmatan berasaskan rel adalah pilihan pertama.  Namun demikian sejak tahun 2013, saya mendapati semakin ramai pengguna LRT di waktu puncak pukul 7.30 hingga 9.00 pagi. Saya pernah menunggu LRT hampir 30 minit bukan kerana masalah ketepatan masa tetapi masalah kepadatan yang menyebabkan LRT berhenti tetapi di dalamnya sudah terlalu penuh dengan pengguna. Ini menyebabkan saya terpaksa berputih mata melepaskannya pergi bukan sebuah tetapi dua buah LRT. Hanya LRT seterusnya datang barulah saya berpeluang menaikinya dan terlewat ke tempat mesyuarat. Saya dapati di waktu puncak, pengguna berebut rebut mendapatkan gerabak dan tidak beratur. Saya berpendapat stesen LRT juga perlu membuat garisan di pintu masuk  seperti perkhidmatan Monorel dan dengan itu, pengguna dengan spontan akan berbaris beratur. Pengangkutan awam yang berkesan memerlukan sokongan lain seperti petak meletakkan kenderaan yang mencukupi. Masalah utama saya untuk menggunakan LRT ialah tempat meletak kereta. Namun sejak tahun 2013 hingga kini, masalah ini makin serius bagi stesen Cheras atau Bandar Tun Razak. Ini kerana stesen ini terletak betul betul di kawasan rumah pangsa atau pangsapuri yang mana kereta penduduk di situ pun sudah memenuhi hingga ke hadapan stesen LRT.  Saya pernah berputus asa mencari petak letak kereta dan saya juga pernah mengalami kesukaran apabila kereta yang ditinggalkan dihalang oleh kereta lain. Walaupun tempat saya bertugas hanyalah 5 minit pemanduan kereta ke stesen LRT tetapi tiada bas pengantara dari stesen ke tempat kerja saya menyebabkan saya perlu juga memandu kereta.
          Saya berpendapat perkhidmatan rel perlu mesra pengguna kepada yang berbasikal. Pengalaman saya ke Perth, Australia pada tahun 2012 dan Korea pada tahun ini dan melihat bagaimana pengguna menggunakan basikal dan memasukkan basikal di dalam perkhidmatan rel samaada subway atau transperth. Oleh itu mereka hanya bergerak dari rumah menaiki basikal dan tidak memerlukan kereta untuk diletakkan di stesen dan bas perantara. Saya tidak pernah melihat keadaan ini di Malaysia dan tidak pasti sama ada dibenarkan atau tidak memandangkan rekabentuk dalaman LRT dan komuter tidak mesra untuk pengguna berbasikal menaikinya bersama basikalnya sekali. Namun demikian, saya berharap ada satu gerabak sekurang-kurangnya direkabentuk untuk pengguna berbasikal. Stesen LRT juga pula mesra pengguna untuk menyediakan tempat letak basikal yang sesuai. Ini kerana di waktu puncak, pengguna juga terdiri dari ramai para pelajar yang ke sekolah. Penggunaan basikal memudahkan mereka untuk terus menaiki basikal ke sekolah tanpa perlu menunggu bas untuk menyambung perjalanan mereka. Malah peningkatan pengguna berbasikal juga meningkat di jalan raya sama ada untuk tujuan riadah atau bersukan, tetapi boleh digunakan untuk pengangkutan utama ke tempat kerja jika perkhidmatan rel mesra pengguna berbasikal.
               Memandangkan kini saya tinggal di pusat bandar Kajang dan stesen komuter hanyalah 7 minit jarak perjalanan dengan kereta, saya akan menggunakan komuter jika perlu menghadiri urusan rasmi hingga ke kawasan Kepong, Sungai Buluh atau Shah Alam. Sewaktu dilancarkan perkhidmatan komuter adalah perlahan. Menunggu hingga 30 minit untuk jarak masa antara komuter yang berikutnya memang membosankan dengan stesen keretapi yang panas. Keadaan di dalam komuter juga agak sesak dan rekabentuk dalaman komuter juga tidak begitu menarik. Saya merasakan saya seperti menaiki keretapi diesel untuk balik ke kampung kerana perlahan. Oleh kerana itu, hampir 8 tahun saya tidak menggunakan perkhidmatan ini. Namun demikian perkhidmatan komuter juga mengalami peningkatan mutu perkhidmatan, sewaktu saya  menaiki komuter ke Kepong dari Kajang pada tahun ini, perjalanan hanya 45 minit dan jurang masa antara komuter daripada 20 minit kepada 15 minit . Rekabentuk dalaman komuter juga kini sangat selesa dan ada koc merah jambu lagi khas untuk penumpang perempuan. Sekarang saya tidak sabar menunggu perkhidmatan MRT (Mass Rapid Transit) yang merupakan laluan utama saya berulang alik dari rumah saya di Kajang hingga ke kawasan tempat bertugas saya di kawasan Cheras. Setelah siap ia benar-benar menjimatkan perjalanan saya yang memandu hampir 45 minit hingga sejam pada waktu pagi dan menjimatkan duit tol juga. Dengan stesen Kajang yang hanya 3 minit dari rumah dan stesen Taman Pertama, Cheras yang hanya 3 minit dari tempat kerja adalah pilihan yang sangat berbaloi dari segi masa dan wang.
               Perkhidmatan keretapi antarabandar juga mengalami perubahan mutu perkhidmatan yang lebih baik.  Di zaman 1980an keretapi antarabandar mempunyai gerabak hingga kelas ketiga yang mana penumpang berebut rebut menaiki gerabak tersebut tanpa perlu mempunyai nombor tiket untuk diduduki. Ada yang membawa tikar dan surat khabar untuk duduk di atas lantai. Penjaja berulang alik untuk menjual pelbagai jenis makanan di dalam gerabak keretapi. Saya berpeluang merasai pengalaman tersebut dengan gerabak keretapi yang hanya mempunyai kipas sahaja dan tingkap yang boleh dibuka. Tetapi kini tiada istilah tiket kelas ketiga dan perkhidmatan keretapi jauh lebih baik . Perjalanan saya ke Bagan Serai,Perak pada tahun 2013 selepas hampir 10 tahun tidak menaiki keretapi untuk balik ke kampung amat mengejutkan saya. Tempat duduk yang sangat selesa walau bukan dari kelas pertama! Kemudahan televisyen dan penghawa dingin memberi nilai tambah kepada perkhidmatan keretapi. Stesen keretapi juga mengalami perubahan yang sangat baik dengan peningkatan kualiti dan seni bina landskap stesen keretapi dari stesen ke stesen yang dahulunya hanyalah dibina dengan kayu sahaja. Sangat selesa sehingga sejak itu anak-anak saya meminta agar menaiki keretapi sahaja untuk balik ke kampung. Saya berpendapat mutu perkhidmatan keretapi yang semakin berkualiti merupakan  faktor utama keretapi sering kehabisan tiket kerana apabila saya ingin membeli tiket di saat –saat akhir biasanya tiket sudah habis. Ia memberikan keinsafan kepada saya bertuahnya hidup di Malaysia yang semakin meningkatkan kualiti hidup rakyatnya. Pengalaman saya ke Sri Lanka pada tahun 2013, melihat perkhidmatan keretapi mereka antarabandar dan merasai sendiri pengalaman menaiki keretapi mengingatkan saya dengan rekabentuk dalaman dan  mutu keretapi di Malaysia di era 1980an. Yang terkini saya tidak sabar menantikan operasi keretapi elektrik atau ETS dari Kuala Lumpur ke Padang Besar yang laju dan memakan masa kurang empat jam sahaja dan yang penting ia melalui kampung saya. Ini kerana perjalanan ETS yang sedia ada hanyalah dari Sentral Kuala Lumpur ke Ipoh sahaja dan jika menaiki keretapi lokomotif diesel memakan masa 3 jam dan tiba di stesen Bagan Serai hampir 7 jam. Pembinaan rel keretapi itu semakin giat dijalankan dan setiap kali saya balik ke kampung melihat pemandangan pembinaan stesen keretapi merentasi di Tasik Bukit Merah satu panorama yang cukup indah.  Saya percaya ia merupakan pengangkutan utama saya untuk berulang alik ke kampung selepas ini.
               Bas merupakan pengangkutan awam utama dari kawasan perumahan masing-masing. Mutu perkhidmatan bas awam henti-henti telah banyak melalui fasa perubahan. Dari zaman 1980an era bas mini yang mana bersesak sesak dan kita perlu membayar tiket kepada konduktor bas dan pemandu bersama konduktor akan berusaha bersungguh –sungguh untuk mendapatkan jumlah penumpang semaksimum mungkin bagi mendapatkan komisen dari pengusaha bas hingga penumpang terpaksa berdiri di  tangga. Hinggalah ke era hujung 1990an,  inovasi menggunakan mesin tiket dimana  kita perlu memasukkan duit dalam mesin di sebelah pemandu hinggalah kini rekabentuk bas yang lebih menarik, lebih luas bagi pengguna berdiri di lorong tengah dan dengan penghawa dingin  dan televisyen.  Rupabentuk stesen menunggu bas juga adalah moden dan bergaya. Saya masih teringat menggunakan perkhidmatan bas Foh Hup di Stesen Bas Puduraya untuk ke Cheras di era 1990an, di mana panas dan asap yang banyak benar-benar menyakitkan mata. Maklumlah jika diambil dari stesen Puduraya maka kebarangkalian untuk mendapat tempat duduk adalah tinggi dan peluang untuk menaiki bas juga adalah tinggi berbanding menunggu di perhentian bas. Ini kerana di waktu puncak, hampir 2 bas malah 3 bas yang lalu di hadapan kita pun, tidak dapat berhenti kerana telah dipenuhi dengan pengguna dari stesen pertama Puduraya lagi hingga ke stesen ketiga sudah penuh sesak hingga ke tangga. Namun kini, semua stesen bas telah dinaik taraf untuk keselesaan pengguna dengan lebih banyak tempat duduk disediakan dan dalam keadaan bersih. Pemandu bas juga patut diberikan pujian kerana memandu secara berhemah dan mengikut laluan yang ditetapkan. Ia sama sekali berbeza dengan perkhidmatan bas dahulu di mana imej pemandu membawa dengan kelajuan dan kepadatan yang membahayakan pengguna. Kini imej pengangkutan awam bas semakin baik dan selesa. Mutu perkhidmatan bas henti-henti juga ditingkatkan dengan menambah kekerapan perjalanan sewaktu masa puncak dan pengguna tidak perlu menunggu lama. Rupabentuk fizikal bas juga adalah bersih sama ada dari luar mahu pun dalaman bas.
          Mutu perkhidmatan bas antarabandar juga semakin bertambah baik. Lebuh raya yang memendekkan masa perjalanan dan kemudahan hentian rehat dan rawat yang lebih banyak dengan kemudahan yang selesa seperti tandas kategori bersih, surau yang luas dan jalan raya yang semakin baik adalah faktor pengguna memilih bas bagi perjalanan jarak jauh jika penat membawa kenderaan masing-masing. Rekabentuk dalaman bas yang lebih selesa untuk perjalanan jauh dan keadaan jalan raya yang baik meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan bas antarabandar. Rekabentuk luaran juga adalah moden dan tidak seperti dahulu yang kelihatan seperti bas kilang sekarang. Pujian juga harus diberikan kepada mutu perkhidmatan teksi. Di dalam teksi sekarang dilengkapkan dengan meter dan pelbagai maklumat mengenai pemandu teksi. Sudah kurang panggilan ulat teksi iaitu teksi tanpa meter yang beroperasi kerana pengguna mudah membuat aduan. Di Bandar, akses kepada perkhidmatan teksi juga adalah mudah sama ada melalui telefon atau menunggu teksi di tempat yang disediakan.
               Saya berpendapat sistem pengangkutan awam di Malaysia perlu memperkenalkan konsep 1 Tiket 1 Perjalanan. Saya pernah ke Korea Selatan dan tertarik dengan sistem T-Card iaitu transportation card yang boleh digunakan untuk semua jenis pengangkutan awam termasuklah teksi. Di dalam teksi dilengkapkan dengan mesin seperti mesin untuk kad kredit untuk diimbas. Jadi saya menggunakan hanya satu kad dari perkhidmatan “Airport  Express” seperti ERL dari lapangan terbang Incheon ke pusat bandar Seoul dan dari Seoul ke Itchiwon menggunakan perkhidmatan subway umpama LRT. Saya terkejut apabila ingin ke Bukchon Hanok Village menggunakan perkhidmatan teksi, pemandu teksi juga boleh menerima kad tersebut. Penggunaan kad ini sangat mesra pelancong dan pengguna kerana mempunyai mesin layan diri untuk membayar semula baki wang yang masih ada dalam T-Card itu sendiri. Bayaran tiket perjalanan menggunakan T-Card ini lebih murah berbanding menggunakan kad jenis lain. Dalam usaha menambahbaik pengangkutan awam di negara ini, kerajaan perlu menyediakan sistem pengangkutan awam yang mampu memenuhi keperluan rakyat untuk menjadikannya sebagai pilihan utama masyarakat khususnya di bandar. Kerajaan perlu memberi fokus kepada beberapa perkara utama dalam sektor pengangkutan awam di negara ini agar kepercayaan masyarakat terhadap kemudahan ini meningkat. Antaranya meningkatkan kebolehpercayaan dengan memberi fokus kepada ketepatan masa. Jika semua pengangkutan awam bergerak pada masa yang ditetapkan maka mudah untuk merancang perjalanan dan meningkatkan kualiti perjalanan pengangkutan awam. Kerajaan juga perlu memastikan akses mudah pengangkutan awam dengan menambahkan tempat meletak kereta baru di stesen rel utama walaupun perlu dibayar, diluar kawasan pinggir pusat bandar utama, dan mempertingkatkan perkhidmatan bas pengantara pada waktu puncak. Selain itu kerajaan perlu menyediakan kapasiti pengangkutan awam mencukupi bagi memenuhi keperluan penumpang sedia ada dan baru. Perjalanan semasa waktu puncak memerlukan kekerapan dan jurang masa yang lebih singkat antara pengangkutan yang berikutnya untuk menampung bilangan pengguna yang lebih ramai.
          Oleh itu saya berharap agar kerajaan memberi penekanan kepada penyediaan satu sistem pengangkutan awam yang bersepadu, fleksibel, pelbagai dan efisien berorientasikan kemudahsampaian dan keselesaan penumpang. Melalui pengintegrasian mod-mod pengangkutan awam dengan pengangkutan persendirian maka pengangkutan awam boleh dijadikan pilihan utama terutama di bandar bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Dengan tersusunnya kemudahan pertukaran antara mod dan sistem tiket bersepadu, perjalananan penumpang akan menjadi lebih senang dan lancar dan meningkatkan pilihan pengguna terhadap pengangkutan awam.


Salam Maal Hijrah 1437H

No comments: