6 November 2015

Esei Integriti: Ke Arah Pencapaian Wawasan



INTEGRITI: JALAN MENUJU PENCAPAIAN WAWASAN
          Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial . Ia melibatkan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa serta keyakinan. Tan Sri Dr Ali Hamsa selaku Ketua Setiausaha Negara menegaskan bahawa semua penjawat awam terus meningkatkan usaha dan produktiviti dalam perlaksanaan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK – 11). Kejayaan perlaksanaan RMK 11 menjadi penentu kepada pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Rancangan Malaysia Ke 11 bagi tahun 2016 – 2020 dengan 6 teras strategik iaitu memperkukuh pembangunan inklusif ke arah masyarakat yang saksama, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkasa pembangunan modal insan untuk menjadi negara maju , menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan, memperkukuh infrastruktur untuk menyokong perkembangan ekonomi dan merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran. Penjawat awam juga diingatkan agar mengukuhkan tahap integriti dan memastikan perbelanjaan kerajaan secara berhemah.
.         Konsep integriti dalam perkhidmatan awam merangkumi sifat menyeluruh seseorang atau sesebuah organisasi berdasarkan nilai-nilai sejagat termasuk aspek akauntabiliti. Oleh itu nilai yang baik perlu menjadi budaya kerja yang diamalkan oleh para pekerja khususnya penjawat awam. Perlaksanaan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan mengikut kepentingan umum. Antara yang ditekankan ialah integriti bagi mengurangkan gejala rasuah, penyelewangan dan salahguna kuasa secara berkesan, meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi. Organisasi perlu mempunyai matlamat yang jelas dan realistik yang dikongsi bersama anggota organisasi. Prosedur yang baik dapat melicinkan perlaksanaan tugas secara cekap, teratur dan tepat, disamping kawalan kualiti, pemantauan, ganjaran dan penghukuman. Etika dan integriti yang digariskan perlu dipatuhi kerana akhirnya seseorang itu bertanggungjawab terhadap Tuhannya.
          Di       sekolah terdapat empat komponen penting yang mana keempat – empat ini perlu ada integriti bagi memastikan sistem pendidikan berada dalam keadaan baik. Pertama pengurusan dan pentadbiran sekolah yang mempunyai integriti yang mementingkan nilai murni. Yang kedua ibu bapa yang merupakan ‘role model’ terdekat yang sentiasa dirujuk oleh anak-anak agar dapat dicontohi anak-anak. Yang ketiga ialah murid itu sendiri yang keempat ialah komuniti sekolah. Berbeza dengan penjawat awam yang lain, berlaku kerosakan jika tidak berintegriti melibatkan material yang dinilai dalam wang ringgit tetapi jika seorang guru, jika tidak berintegriti dia akan merosakkan generasi dan kerosakan itu lebih lama kerana generasi itu tidak mendapat pengajaran yang berkualiti daripada guru. Jika tiada integriti guru dalam bilik darjah kesannya lebih lama dan mengancam masa depan negara. Antaranya generasi akan datang tidak dapat berfikir dan tidak boleh membuat justifikasi terhadap tindakan selain tidak boleh merasionalkan maklumat kerana perkara ini tidak dilatih di bilik darjah. Oleh itu guru perlu memartabatkan profesion keguruan sama ada dari pihak pentadbir atau kerajaan supaya integriti dan autoritinya sentiasa diyakini dan dipelihara. Oleh itu seluruh warga pendidik perlu meletakkan nilai integriti dan tanggungjawab sebagai tonggak utama dalam mendidik anak bangsa.

          Pengurusan dan pentadbiran  perlu memainkan peranan utama kerana semua aktiviti dan perlakuan pentadbir yang mencerminkan kebolehannya mempengaruhi individu atau kumpulan ke arah mencapai objektif organisasi. Kualiti kepimpinan yang berintegriti seperti jujur, berwawasan, kompeten dan berupaya membangkitkan inspirasi merupakan kualiti kepimpinan terbaik untuk mencapai kecemerlangan menuju Wawasan 2020. Pembabitan Ibu bapa dalam gerakan pemantapan akan menjamin kejayaan agenda menjadikan integriti sebagai budaya masyarakat dalam jangka panjang. Ia selaras dengan hakikat bahawa masyarakat Malaysia merupakan masyarakat berorientasikan keluarga dan komuniti. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab mendidik anak-anak supaya dapat mengamalkan tingkah laku yang baik dalam kalangan ahli keluarga, jiran-jiran, rakan sekolah dan sebagainya. Keluarga seharusnya memastikan bahawa keluarga sentiasa ceria dan sihat untuk memupuk sosiobudaya dan nilai yang baik dalam kalangan anak-anak dan anggota keluarga yang lain. Ini akan menyumbangkan amalan yang baik untuk dipraktikkan apabila mereka keluar dari rumah dan berinteraksi dengan rakan dan individu dalam menjalankan tugasan mereka. Peranan ini seterusnya dapat memantapkan institusi keluarga yang mencerminkan daya tahan institusi keluarga dan kehidupan keluarga bahagia melalui pengurangan kadar konflik keluarga, pengurangan kadar penderaan dan pengurangan kes pengabaian warga tua sebagai petunjuk yang membawa kepada peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
         
          Murid perlu menyemai dan mempraktikkan nilai integriti dalam jiwa murid bagi melahirkan pewaris negara yang cemerlang akademik dan sahsiah. Mencontohi role model terdekat iaitu guru di sekolah dan keluarga di rumah kerana pendidikan nilai tidak boleh diajar tetapi dipamerkan, diamalkan dan tujuk contoh yang baik. Integriti dibentuk melalui didikan secara langsung dan tidak langsung. Dengan ini, kadar perbuatan salah laku dalam kalangan murid sekolah dan kadar gejala sosial dapat dikurangkan melalui pembudayaan integriti dan penguatkuasaan disiplin pada murid. Dengan ini sikap tidak berintegriti seperti vandalism memusnahkan harta benda sekolah, dinding bangunan, tandas dan ponteng dapat ditangani dan seterusnya mewujudkan sekolah yang berintegriti. Komuniti juga memainkan peranan dalam membina integriti bagi menjamin pencapaian ke arah Wawasan 2020. Komuniti yang berintegriti akan disenangi dan disanjungi dan dapat dinilai tahap integriti organisasi tersebut. Contohnya kemudahan awam seperti telefon awam, tempat membuang sampah, stesen bas dan lif. Keadaan tandas yang bersih dan telefon awam serta lif yang dijaga dengan baik menunjukkan integriti komuniti yang tinggi. Integriti bagi sesebuah masyarakat itu adalah penting kerana ia mencerminkan imej agama, bangsa dan negara.


Semua perkara-perkara yang dibincangkan di atas menggambarkan betapa pentingnya integriti kepada individu, keluarga, organisasi dan komuniti. Melalui pembudayaan etika dan integriti  yang harus dilalui sebagai satu proses seumur hidup , ia merupakan satu jalan ke arah mencapai Wawasan 2020 untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020, bukan sahaja dalam bidang ekonomi, tetapi juga politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta perpaduan nasional dan sosial.
                                                                                (930 patah perkataan)


Invitation from Unit HEM JPWPKL
Alhamdulillah for another rewards
 

Telegram Channel