Total Pageviews

Subscribe Here

TERIMA KASIH PEMBACA

26 November 2015

Sesi kaunseling kes buli siber



                                   

Hari ini merupakan hari pembentangan mengenai modul untuk child online protection. Draf awal dirangka sebelum modul dibina sepenuhnya. Saya akan sharekan apabila modul penuh telah dapat dijalankan. Hari ini saya nak berkongsi mengenai satu slot penting semalam hasil kajian yang dijalankan dengan kerjasama KPM, CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan DIGI.


                                   
Kajian CyberSAFE di sekolah melibatkan 13,945 murid sekolah berumur 7 - 19 tahun untuk Laporan Kaji selidik Kebangsaan mengenai Jaringan Keselamatan: Pembinaan Keupayaan Di Kalangan Kanak-Kanak Sekolah Malaysia Supaya Selamat Atas Talian. Ini kerana hasil kajian kebangsaan 2014 mengenai keselamatan internet dalam kalangan kanak-kanak sekolah Malaysia mendapati 70% responden melakukan pelbagai bentuk gangguan dalam talian seperti memanggil seseorang dengan nama yang tidak disukai, menghantar mesej atau gambar yang tidak sopan. Ia diburukkan lagi apabila 64% daripadanya menganggap menggunakan nama samaran untuk melakukan gangguan bukanlah buli-siber. Kumpulan kanak-kanak pernah dibuli tertinggi ialah berusia 13-15 tahun iaitu sebanyak 43%.

Membuli di alam siber merupakan satu jenayah. Ia termasuklah mesej gangguan dibuat melalui sms dan kenyataan di dalam laman muka buku kepunyaan orang lain.

Antara kes yang dilaporkan oleh murid yang pernah menjadi siber buli ialah
- pernah digelar dengan nama yang tidak baik atau dipersendakan
- pernah menerima mesej yang biadap
- difitnah atau berita angin pernah disebarkan mengenai diri
- disisih atau tidak diperdulikan
- seseorang menggodam akaun atas talian
- orang lain memuat naik video atau gambar yang memalukan orang lain
-maklumat peribadi disebarkan tanpa kebenaran
- diugut atau dipaksa melakukan sesuatu

Bagi majoriti kanak-kanak, ahli keluarga khususnya ibu bapa dan kawan-kawan merupakan tempat utama mereka mengadu. Tidak ramai yang akan mengadu kepada guru mahupun kaunselor sekolah malah aduan kepada guru kaunseling hanyalah 7% jika berlaku pengalaman buruk dalam internet berbanding 16% kepada guru ICT mereka sendiri. Manakala 6% pula lebih suka mendiamkan diri. Oleh itu pembinaan keupayaan kepada guru-guru  diperlukan agar mereka dapat memberikan nasihat yang sesuai kepada yang memerlukannya.


Sebagai guru kaunseling saya sendiri dapat merasakan trend 2 tahun kebelakangan ini ialah kes yang berkaitan dengan media sosial atau berpunca dari media sosial yang menyebabkan pergaduhan dalam dan di luar sekolah melibatkan individu atau berpuak -puak. atau kes perselisihan faham kerana media sosial. Oleh itu sebagai guru kaunseling saya perlu familiar dengan terms yang digunakan untuk setiap media sosial yang digunakan seperti retweet, share, crop , wechat dan sebagainya. Laman web popular di internet yang perlu diketahui bagi membantu guru kaunseling dalam literasi siber media sosial antaranya facebook, twitter, instagram, youtube, whatsapp,waze, foursquare,line, snapchat dan sebagainya. perghh macam macam dan media sosial saya sendiri didaftarkan oleh anak anak murid saya. Terms yang digunakan adalah penting untuk memahami bagaimana punca ketidakpuasan hati timbul dan bagaimana proses data atau media disebarkan dari seorang ke seorang hingga menimbulkan ketidakpuasan hati dan perselisihan faham dari individu kepada kumpulan yang lain pula. Saya sendiri pernah meminta klien saya untuk membawa handphone ke sekolah kerana klien akan log in media sosialnya untuk menunjukkan bukti kepada saya dan dari situ sama ada printscreen untuk menunjukkan proses yang berlaku. Melalui laporan kaji selidik ini, saya percaya bahawa murid ini akan merujuk kepada kawan dan ibu bapa mereka sendiri terlebih dahulu berkaitan dengan online. Dan hanya apabila keadaan menjadi bertambah teruk barulah mereka akan meminta bantuan guru kaunseling sekolah jika ia melibatkan kawan sekolah juga. Jika ia melibatkan orang luar, guru kaunseling akan membantu untuk murid tersebut membuat aduan mengikut prosedur dari punca kes hinggalah terjadinya tragedi dengan eviden yang diperolehi. Konsultasi keibu bapaan akan dijalankan bagi membantu ibu bapa membuat aduan. Oleh itu didikan mengenai kesedaran kes buli siber ini perlu didedahkan kepada murid sekolah dan diberi peringatan dari semasa ke semasa. Ini kerana majoriti murid biasanya mengaitkan kes buli siber dengan gambar gambar yang berkait dengan porno sahaja.

Murid sekolah perlu dijelaskan mengenai kes buli siber ini agar mereka tidak tersengaja menjadi pembuli atau disabitkan dengan kesalahan undang-undang. Saya sendiri pernah bercakap di tapak perhimpunan apabila kes histeria di sekolah divideokan dan diviralkan oleh murid sekolah sendiri hingga menyebabkan bapa murid tersebut berang dan ingin mengambil tindakan. Memang ramai murid yang tension apabila dikaitkan dengan polis dengan apa yang mereka post adalah satu kesalahan. Mujurlah murid memberikan kerjasama yang baik dan kes dapat ditangani dengan win -win situation. Berikut merupakan sistem sokongan yang boleh dihubungi oleh guru kaunseling atau orang awam bagi membantu dalam mengendalikan sesi kaunseling kes buli siber.

Antara sistem sokongan yang lain yang boleh membantu kes buli siber ialah:
1) Cyber999
Hubungi cyber999 iaitu pusat bantuan insiden keselamatan siber. Untuk membuat laporan, sila email cyber999@cybersecurity.my atau telefon 1-300-88-2999/60192665850 atau mengisi borang laporan online https://www.mycert.org.my/online_form/index.html

2) Forum Kandungan Komunikasi Dan Multimedia Malaysia
laporkan kandungan menjelikkan seperti pornografi,keganasan dan SMS yang mengandungi penipuan,komplot atau kata-kata lucah melalui talian 1800-882-623 atau email kepada secretariat@cmcf.org.my atau portal aduan CMF (COP) di http://www.cmcf.my/online-form-online-content

3) Childline Malaysia
Merupakan talian 24 jam untuk kanak-kanak,jika anak anda perlu bercakap sengan seseorang,hanya perlu memanggil talian 15999 atau layari facebook.com/childline 15999 untuk meminta bantuan atau sila ke tapak web untuk membuat laporan http://stopchildabuse.unicef.my/protect_reportAbuse.html

4) Talian Nur
Talian 24 jam khas untuk mangsa kanak-kanak penderaan, keganasan rumahtangga dan bencana alam iaitu talian Nur 15999

5) Pertubuhan Pelindung Dan Penyelamat Kanak-Kanak
Isu berkaitan dengan perlindungan kanak-kanak dari penderaan seks dan eksploitasi melalui telefon 79574344 dan email kepada protect@psthechildren.org.my

6) Befrienders
Menyediakan perkhidmatan persahabatan rahsia 24 jam sehari, 7 hari seminggu di talian 03-79568144&03-79568145 atau email masalah sam@befrienders.org.my


Memorable 
KFC Puduraya 1994 :)

No comments: