Total Pageviews

TERIMA KASIH PEMBACA !

6 March 2016

Penulisan Kajian Kes Bagi Guru Kaunseling Sekolah: Penyesuaian Di Sekolah

KAJIAN KES OLEH
PUAN NURHAIZA BT CHE MAT


TAJUK: PENYESUAIAN DI SEKOLAH

PENGENALAN
          Kes ini berkaitan dengan masalah murid untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru . Di dalam kajian kes ini Guru Bimbingan Dan Kaunseling meneroka untuk membantu menangani masalah ini dengan menggunakan model Terapi Realiti yang diutarakan oleh William Glasser dimana guru kaunseling bertindak secara aktif, mengarah dan kognitif dan guru kaunseling yakin murid mempunyai keupayaan tertentu untuk melakukan sesuatu pada masa kini bagi mengubah tingkah lakunya. Masalah penyesuian yang dihadapi oleh individu timbul dari kegagalan individu memenuhi keperluan-keperluannya. Masalah psikologikal seperti kesedihan, keresahan, kemurungan akan luput apabila keperluan ini dipenuhi.

LATAR BELAKANG KLIEN
Klien dikenali dengan nama Athirah (bukan nama sebenar) merupakan murid dari sekolah tahfiz. Selama 5 tahun murid ini tidak pernah berada dalam sekolah aliran perdana hanya sekolah swasta aliran tahfiz menyebabkan batasan pergaulan sosialisasi sangat terhad. Murid ini tinggal dengan ibunya sejak berumur 6 tahun apabila ibu bapa bercerai. Ibu berkahwin lain ketika berumur 7 tahun dan murid berpindah pula mengikuti keluarga barunya. Namun demikian, ketika berumur 8 tahun, ibunya meninggal dunia dan murid diletakkan di bawah penjagaan keluarga datuknya sebelah ibu. Tetapi datuknya tidak dapat membela Athirah kerana telah berkahwin lain dan mempunyai keluarga yang baru. Oleh itu hanya beberapa bulan tinggal dengan datuknya,  Athirah diserahkan kepada datuk saudaranya pula selama 2 tahun. Kemudian sewaktu berusia 11 tahun, murid ingin tinggal kembali dengan datuknya tetapi datuknya menempatkan Athirah di asrama tahfiz kerana masalah kewangan. Akhirnya, Athirah lebih selesa berada di asrama ini dan tidak pernah balik ke rumah sesiapa pun sewaktu cuti sekolah mahupun Hari Raya. Athirah tidak pernah menghubungi bapa kandungnya sejak ibunya meninggal dunia kerana tidak dibenarkan oleh datuk atau saudara maranya. Masalah Athirah bermula dengan masalah disiplin di sekolah asrama tahfiz apabila dia diarahkan dipindahkan ke kawasan asrama yang lain. Murid ini melarikan diri dari asrama dan bergelandangan selama beberapa hari. Hinggalah seorang pegawai polis membantunya untuk pulang ke rumah datuknya. Memandangkan datuknya tidak dapat menjaga Athirah dan dalam masa yang sama Athirah berdegil untuk tidak mahu kembali ke asrama maka  datuknya bersetuju dengan permintaan Athirah yang ingin mencari ayah kandungnya. Berpandukan alamat dalam simpanan lama datuknya, Athirah berjaya berjumpa dengan ayah kandungnya.  Apabila tinggal dengan ayah kandungnya, Athirah perlu bersekolah di sekolah menengah harian biasa yang mempunyai pelbagai kaum dengan saiz kelas yang agak besar menyebabkan Athirah merasa tertekan untuk menyesuaikan diri. Pengalaman berada 5 tahun di sekolah tahfiz agak menyukarkan Athirah menyesuaikan diri dengan kawan-kawan dan persekitaran barunya dan dalam masa yang sama Athirah juga perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran di rumah memandangkan hampir 10 tahun dia tidak berjumpa dengan ayah kandungnya. Namun sesi kaunseling lebih berfokuskan kepada penyesuaian di sekolah memandangkan murid ini selesa dengan keluarga bapanya yang melayannya dengan baik.

TINDAKAN/PROSES KAUNSELING
SESI KAUNSELING PERTAMA
Pada hari pertama, murid datang dengan ditemani oleh bapanya. Namun demikian, murid yang sepatutnya berada di tingkatan 4 itu enggan mengikuti persekolahan pada hari pertama dan mengikut bapanya pulang selepas pendaftaran. Bapa menceritakan serba sedikit latar belakang pendidikan anaknya manakala murid membisu. Pendaftaran dijalankan lewat hampir 3 bulan kerana masalah dokumen murid dan murid sendiri tidak bersedia untuk ke sekolah hingga dipujuk oleh bapanya.
Pada hari kedua, murid hadir ke sekolah tetapi enggan masuk ke kelas yang telah ditentukan untuknya. Murid ini hanya membatu apabila diarahkan masuk ke kelas dan membisu. Guru membawa murid ke bilik kaunseling untuk menjalankan sesi kaunseling individu namun murid banyak mendiamkan diri dan kurang memberikan kerjasama. Oleh itu pada sesi kaunseling pertama guru kaunseling banyak menjalankan rapport untuk membina hubungan dengan bertanya khabar, keadaan kesihatan, dan membantu membimbing murid mengisi borang rekod sesi kaunseling sambil bertanyakan maklumat mengenai latar belakang keluarga yang asas dan pendidikan asas . Dalam sesi kaunseling pertama, peringkat membina hubungan dan penstrukturan dijalankan. Penstrukturan mengenai prosedur dan etika dalam sesi kaunseling dan menjelaskan peranan murid sebagai klien dan tanggungjawab masing – masing. Etika kerahsiaan dan bantuan dari guru kaunseling untuk murid tersebut berkongsi masalahnya.

SESI KAUNSELING KEDUA
Pada hari ketiga, sesi kaunseling kedua dijalankan dengan guru kaunseling menyakinkan murid mengenai bantuan kaunseling hanya boleh diberikan jika murid juga bekerjasama untuk dibantu. Guru menggunakan soalan tertutup ya atau tidak dalam meransang murid untuk memberikan respon. Murid dibiarkan dahulu di bilik kaunseling di ruang belajar dan tidak masuk ke kelas. Guru kaunseling keluar masuk bilik kaunseling akan menyapa dan berbual santai di luar bilik sesi kaunseling. Ini kerana tingkah laku murid ini sendiri yang memandang semua orang seperti kebimbangan yang melampau menyebabkan guru kaunseling yakin murid ini belum bersedia untuk masuk ke dalam kelas.

SESI KAUNSELING KETIGA
Pada sesi ini, guru kaunseling membantu murid sedar tentang tingkah lakunya yang tidak berkesan. Asas utama terapi realiti ialah menolong klien menilai sama ada keperluannya realistik dan sama ada tingkah lakunya dapat menolongnya. Guru kaunseling perlu menolong klien sedar dan selepas itu membantu klien meningkatkan tahap kesedaran itu. Terapi realiti menekankan konsep tanggungjawab iaitu tingkah laku untuk memenuhi keperluan seseorang tanpa menggangu orang lain. Dari rapport dengan guru kaunseling dan maklumat penerokaan latar belakang diri murid, didapati murid ini belum bersedia dengan perubahan persekitarannya lagi. Murid baru sahaja tinggal bersama ayah kandungnya semula setelah 10 tahun tidak pernah berjumpa dan berhubung sejak ibu bapanya bercerai. Malah baru juga tahun lepas, murid melarikan diri dari asrama tahfiz apabila didenda dihantar ke sekolah tahfiz yang lain walaupun dia sudah menginap selama 5 tahun di sana. Datuk yang diharapkan memberikan perlindungan kepadanya enggan menjaganya kerana masalah keluarga dan kewangan. Malah penolakan demi penolakan dari kecil, menyebabkan murid bimbang dan gementar setiap kali perlu berhadapan dengan situasi baru.
Terapi realiti menekankan tingkah laku masa kini. Guru kaunseling menumpukan kepada tingkah laku kini murid mengenai sikapnya yang tidak mahu masuk ke kelas. Guru kaunseling mencabar murid agar sikap itu boleh diubah dan mencuba untuk mengenalpasti kesesuaian berada di dalam kelas tersebut.

Selepas sesi kaunseling ketiga, murid bersetuju untuk masuk ke kelas dengan pemantauan daripada guru kaunseling. Namun demikian pada waktu rehat sahaja, murid ini akan datang ke bilik kaunseling. Baru tiga hari di kelas baru, murid memohon untuk bertukar kelas dengan suara yang terdesak akibat stres . Dari temubual dengan rakan sekelas, mereka memaklumkan murid ini hanya mendiamkan diri dan mengasingkan dirinya. Ini menambahkan keyakinan guru kaunseling bahawa murid ini tidak dapat menyesuaikan diri di dalam kelas ini.

SESI KAUNSELING KEEMPAT
Dari sesi penerokaan mengenai masalah murid ini menyesuaikan diri di kelas baru ialah  bilangan murid yang ramai hampir 38 murid di dalam kelasnya yang bising dan berbilang kaum. Dia seperti kehilangan punca dan semua murid sudah mempunyai klik mereka yang tersendiri dan tiada motivasi untuk memulakan salam perkenalan apatah lagi menyambut salam dan berbual dengan orang lain. Murid merasakan penolakan berada dalam kelas tersebut. Kehidupan selama 5 tahun berada dalam sekolah tahfiz yang mana saiz kelas adalah kecil antara 15 orang sahaja di dalam kelas dan tidak bercampur jantina dan kaum menyebabkan murid tidak betah di dalam kelas tersebut. Klien menangis bersungguh –sungguh menunjukkan yang dia memang tidak sanggup untuk meneruskan pembelajaran di dalam kelas itu dan ingin berhenti. Dalam terapi realiti, klien diminta membuat penilaian dengan menilai kualiti tindakannya. Maka guru kaunseling bertanya dengan menggunakan soalan yang sesuai apakah perancangannya selepas ini? Murid meminta peluang untuk bertukar kelas yang lebih sesuai dengan keperluannya. Guru kaunseling membimbing murid untuk meneroka kemungkinan tingkah laku dan merangka pelan tindakan. Sepanjang proses perancangan ini, murid diingatkan agar sentiasa mengambil tanggungjawab untuk pilihan dan tindakannya. Guru kaunseling menentukan secara terarah bahawa murid harus bersedia dengan pilihannya. Persetujuan dicapai di antara guru kaunseling dan Athirah iaitu guru kaunseling akan mengenal pasti kelas yang sesuai dengan keperluannya dan klien pula perlu bersedia dengan tidak memberi alasan yang sama. Kontrak dalam bentuk perjanjian di mana klien akan cuba menyesuaikan diri di dalam kelas sekurang-kurangnya dalam masa seminggu hari persekolahan dan guru kaunseling akan menyemak kehadiran klien. Jika perancangan ini berjaya, guru kaunseling akan membantu klien mendapatkan tempat di kelas tersebut dengan membuat permohonan kemasukan ke kelas mata pelajaran vokasional memandangkan kini sudah bulan April dan klien sudah terlewat 4 bulan memulakan persekolahan tingkatan 4.  Sekiranya dalam masa seminggu, klien sudah memberikan alasan maka klien harus bertanggungjawab dengan pilihan seterusnya iaitu perbincangan yang melibatkan bapanya untuk menentukan hala tuju akademik klien sama ada kembali ke sekolah tahfiz yang berhampiran tetapi berjauhan kembali dengan bapa kandungnya atau memilih ke sekolah lain yang menepati keperluan klien.

Selepas sesi keempat, guru kaunseling berbincang dengan penyelaras tingkatan empat untuk menempatkan murid ini dalam kelas sementara di kelas yang lebih sesuai.  Di tingkatan 4, hanya kelas mata pelajaran vokasional sahaja yang mempunyai bilangan  murid antara 15 – 20 orang sahaja.  Maka satu dari kelas tersebut dipilih yang majoritinya ialah murid perempuan dan beragama Islam. Murid bersetuju untuk mencuba masuk ke dalam kelas tersebut dan guru kaunseling sendiri yang menghantarnya ke dalam kelas tersebut. Guru kaunseling memanggil 2 orang murid perempuan kelas tersebut dan meminta mereka untuk membantu guru kaunseling membantu Athirah menyesuaikan diri di sekolah ini dengan mengajaknya ke kantin sekolah, atau jika ada pergerakan ke mana-mana dalam kawasan sekolah ini sama ada ke perpustakaan, makmal dan bilik katering sila beriringan dengan murid baru ini. Pada hari ini, buat pertama kali Athirah tidak datang ke bilik kaunseling sewaktu rehat memberikan satu petanda yang positif. Dalam masa yang sama, guru kaunseling akan masuk relief kelas tersebut untuk melihat sendiri sama ada Athirah sudah boleh menyesuaikan diri. Guru menjalankan aktiviti sewaktu relief untuk melihat respon murid bersosialisasi di dalam kelas.


HASIL SESI KAUNSELING
Guru kaunseling memaklumkan bahawa guru gembira dengan perubahan positif murid yang ceria kerana murid sudah boleh tersenyum dan kelihatan boleh menyesuaikan diri dalam kelas baru dan menjadi kawan baik kepada dua orang murid yang telah guru kaunseling meminta pertolongan untuk membantunya. Ternyata strategi itu membantu murid sebagai satu sumber sokongan untuk murid ini merasa selesa berada di dalam kelas kerana diterima sebagai sebuah keluarga, Apabila murid sendiri merasa selesa, dan dapat berinteraksi dengan orang lain, maka dengan mudah pula orang lain akan datang menghampiri untuk menjalinkan persahabatan dengan Athirah. Guru –guru subjek juga memberikan respon yang positif apabila selepas setahun berlalu, murid ini sudah boleh menjalankan aktiviti kokurikulum, aktiviti luar dan adakalanya bertukar-tukar kawan yang berjalan dengannya.

RUMUSAN
          Dengan penggunaan model Terapi Reaiti ini, kes dapat dikendalikan dengan lancar. Ia mudah dipraktikkan kerana bersifat realistik dan praktikal. Matlamat terapi ini untuk mengatasi masalah tingkah laku dalam kalangan remaja. Kebolehpercayaan terhadap kemampuan individu untuk memimpin dirinya sebagai seorag yang bertanggungjawab telah memberikan satu penghormatan dan sokongan moral kepada individu itu. Ia mrupakan satu motivasi dalaman yang amat kuat untuk membantu individu berusaha memperbaiki tingkah laku untuk mencapai matlamat masa depan dengan lebih berjaya.


RUJUKAN
Othman Mohamed, Halimatun Halaliah Mokhtar, Maznah Baba dan Wan Marzuki           Wan Jaafar (2008). Srategies In Counselling Practices. Serdang: Universiti Putra Malaysia

Sapora Sipon dan Ruhaya Hussin (2008). Teori Kaunseling Dan Psikoterapi. Bandar           Baru Nilai: Universiti Kebangsaan Malaysia

Sometimes you need to sacrifice 
Something that matters to you
To offer something
That matters more to someone else...

No comments: